Rintihan penggiat seni untuk dibenarkan kembali bekerja ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) terus bergema ekoran pihak yang berkenaan masih membisu ketika ini.

Pelakon Arash Mohd adalah antara penggiat yang tidak ketinggalan menyuarakan perasaan yang terbungkam dan menuntut jawapan segera daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

"Sampai sekarang masih menyepi? Apa tindakan menteri di Kementerian Komunikasi dan Multimedia?

"Kami nak kerja. Kelonggaran PKPB dah diumumkan. Sektor kerajaan yang berurusan dengan ramai orang pun dah mula beroperasi.

"Jangan pinggirkan kami di sektor bidang kreatif!" katanya di Instagram.

Mengiringi kenyataan itu adalah sebuah petikan akhbar melaporkan persoalan dibangkitkan Arash - atau nama sebenarnya Azman Shah Ramlee - kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Jurey Latiff Rosli, menulis surat kepada KKMM untuk meminta diberikan kelonggaran menjalankan penggambaran.

Menurutnya, surat berkenaan dihantar pada 30 April lalu. 

Beberapa portal berita lain turut melaporkan penggiat seni antara yang terjejas kerana tidak dibenarkan menjalani penggambaran susulan perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan 18 Mac lalu.

Ramai dalam kalangan mereka mula mengalami kesempitan hidup susulan tidak dibenarkan bekerja selain tidak menerima Bantuan Prihatin Nasional daripada kerajaan.

Pada masa sama, Arash, 50, berkata penggiat seni bersedia untuk mengikuti setiap syarat prosedur operasi standard (SOP) yang dikenakan kerajaan bagi membolehkan mereka bekerja ketika usaha memerangi wabak Covid-19 masih giat dijalankan.

"Bagitahu kami apa SOP yang perlu kami patuhi. Kami akur. Jangan lupa, kami juga sebahagian daripada yang membayar cukai kerajaan," katanya.

Sementara itu, Finas dilaporkan menunggu kenyataan rasmi daripada KKMM berhubung isu berbangkit.

Jurucakapnya berkata, badan itu memandang serius perkara berkenaan kerana sebahagian penggiat seni sudah bersuara.

Finas sebelum ini menasihati semua aktiviti penggambaran dihentikan selaras pelaksanaan PKP.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.