Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Boy Iman 'tergelak' dapat tahu diisytihar muflis

Pelakon yang juga ahli perniagaan Boy Iman mengakui dia hanya mampu ‘tergelak’ selepas membaca laporan dirinya yang diisytihar muflis oleh mahkamah berkuat kuasa semalam.

Boy Iman mendakwa, dia sebenarnya langsung tidak tahu menahu atau tidak dimaklumkan mengenai sebarang tindakan undang-undang yang bakal dikenakan ke atasnya terlebih dahulu sebelum ini.

“Saya pun baru tahu selepas membaca laporan disiarkan media sebentar tadi. Baru je baca, dan memang tak tahu apa-apa atau tak terima sebarang notis pun.

“Apabila saya merujuk kes ini pada peguam, dia juga memberi maklum balas yang sama. Apa boleh buat? Saya hanya mampu tergelak sajalah buat masa ni,” katanya berseloroh kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, Boy Iman memaklumkan, dia sedang menunggu maklumat lanjut mengenai hal itu daripada peguamnya.

Sebuah akhbar melaporkan Boy Iman atau nama sebenarnya Noruliman A Rahman diisytihar muflis oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam.

Pengisytiharan muflis itu diputuskan berikutan Boy Iman selaku penghutang penghakiman gagal melunaskan tuntutan lebih RM60,000 dibuat seorang individu pada pertengahan tahun lalu.

Terdahulu, Boy Iman melalui syarikatnya DBI Technology Sdn Bhd melancarkan program pembinaan rumah mampu milik dikenali DBI Homes sekitar 2017.

Rekaan bentuk rumah itu jika mengikut harga jualan semasa boleh mencecah RM200,000 tetapi dijual dengan harga kira-kira RM50,000.

Ditanya reaksi pengkritiknya mengenai keadaan yang menimpanya itu, Boy Iman menjawab: “Saya bersyukur."

Katanya, dia akan cuba mencari nilai positif daripada setiap apa yang berlaku ke atasnya ketika ini.

“Biar orang anggap saya sedang lalui situasi buruk, tapi sebenarnya Allah sedang memberikan satu pengalaman yang mengandungi banyak hikmah,” katanya.

Lihat Komen
ADS