Pelakon Abishek Bachan mengesahkan isterinya yang juga bintang Bollywood, Aishwarya Rai dan anak perempuan mereka yang disahkan positif wabak Covid-19 akan menjalani kuarantin di rumah.

Bekas ratu cantik dunia itu disahkan positif sehari selepas bapa mentuanya, legenda Bollywood Amitabh Bachchan, serta Abhishek dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Mumbai selepas dijangkiti wabak itu.

“Aishwarya dan Aaradhya juga didapati positif Covid-19. Mereka akan dikuarantin di rumah.

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) telah dimaklumkan berkenaan keadaan mereka dan melakukan apa yang perlu. Anggota keluarga yang termasuk ibu saya telah disahkan negatif. Terima kasih atas ucapan dan doa anda," ciapnya di Twitter hari ini.

Abishek, 44, juga memaklumkan bahawa dia dan bapanya masih di hospital.

“Bapa dan saya kekal di sini hingga doktor beri kata putus lain. Semua orang tolong berhati-hati dan ikut peraturan yang dikuatkuasakan,” ciap pelakon Refugee itu lagi.

Semalam, Amitabh memaklumkan dia dan Abhishek telah dijangkiti wabak itu dan meminta sesiapa yang mempunyai kontak rapat dengannya dalam tempoh sepuluh hari lalu untuk melakukan ujian Covid-19.

Tidak lama kemudian, Abishek turut memaklumkan perkara sama, berkata mengalami gejala ringan dan meminta semua orang kekal bertenang.

Keempat-empat banglo milik keluarga Bachchan - Jalsa, Pratiksha, Janak dan Vatsa - diisytihar sebagai zon merah oleh PBT.

Penjejakan kontak Amitabh yang juga dikenali dengan nama Big B itu dilakukan, sementara kakitangan di banglo mereka turut menjalani pemeriksaan Covid-19.