Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Balu Abam puas hati isu faraid diselesaikan mahkamah
Diterbitkan:  Sep 10, 2020 2:32 PM
Dikemaskini: 6:32 AM

Balu Allahyarham Abam Bocey, Nor Hidayah Mohd Ali, berpuas hati dengan keputusan tuntutan faraid ditetapkan Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam hari ini.

Nor Hidayah berkata, pembahagian faraid tersebut merangkumi hak pemilikan rumah, kereta, wang tunai dan barang peribadi peninggalan arwah suaminya.

"Alhamdulillah, urusan faraid dapat diselesaikan. Saya sangat berpuas hati dengan keputusannya. Pihak sebelah sana juga akan mendapat bahagian mereka.

"Antara harta yang difaraidkan adalah rumah, kereta, wang tunai dan barangan peribadi arwah seperti jam tangan, kamera dan telefon," katanya seperti dipetik BH Online hari ini.

Menurut Nor Hidayah, walaupun pihak keluarga Abam tidak hadir, namun ia tidak mengganggu proses hakim membuat keputusan kerana semua bahagian faraid sudah ditetapkan.

Prosiding tuntutan faraid dan hadanah (hak penjagaan anak) itu dikendalikan secara tertutup.

Nor Hidayah berkata, mahkamah menetapkan Oktober depan sebagai tarikh baru untuk kes tuntutan hak penjagaan anak ekoran ketidakhadiran ibu mentuanya, Sabariah Arshad.

Nafi kereta kena tarik

Justeru katanya dia beharap apabila mahkamah bersidang sekali lagi pada bulan depan, pihak Sabariah akan hadir.

Mengulas mengenai isu wang RM10,000 milik arwah yang dikeluarkan - seperti didakwa bekas adik iparnya, pelawak Ali Puteh - Nor Hidayah mengaku dia ada melakukannya.

Bagaimanapun, Nor Hidayah menafikan menggunakan wang itu untuk tujuan peribadi.

"Saya ada mengambil wang RM10,000 tetapi saya masukkan ke akaun anak saya. Saya tidak gunakan sesen pun," katanya.

Mengulas kereta mewah peninggalan Abam yang ditarik, Nor Hidayah menafikannya.

"Kereta masih ada... Dakwaan yang mengatakan kereta itu ditarik tidak benar. Tetapi, saya tidak mahu komen lebih-lebih," katanya.

Pada 7 Sept lalu, Nor Hidayah bersama dua peguam mengadakan sidang media di Shah Alam bagi menjelaskan dakwaan tuntutan saman terhadap ibu mentuanya.

Peguam Mohamed Ibrahim Mohamad menafikan dakwaan itu dan menegaskan sebaliknya Sabariah yang memfailkan saman terhadap Nor Hidayah pada Julai lalu.

Lihat Komen
ADS