Nabila Huda pasrah belum ada rezeki dapat anak lagi
Pelakon Nabila Huda tetap reda apabila belum rezekinya untuk menimang cahaya mata kedua - dan yang pertama dengan suami sekarang - selepas takdir menentukan dia keguguran lagi baru-baru ini.
Berita dukacita itu dikongsikan pemilik nama penuh Nabila Huda Suhaimi itu melalui Insta Story, petang semalam.
Katanya, dia mengalami keguguran apabila usia kandungannya baru beberapa minggu.
"Rasanya anda perlu tahu apa yang berlaku kepada saya. Saya keguguran sekali lagi untuk kali kedua.
"Apabila pertama kali saya tahu berlaku bleeding (pendarahan), saya down (lemah semangat)," katanya.
Menurut Nabila, 35, kelmarin dia menghabiskan masa seharian untuk cuba memulihkan semula semangatnya .
"Saya cuba memulihkan semula perasaan tu. Jangan bimbang, saya ada di rumah. Semalam seharian fikir... Sakit rasanya," tambah Nabila.
Menurut Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-28 itu dia bagaimanapun harus akur dan menerima dugaan tersebut dengan berlapang dada.
Mahu atau tidak, kena move on
"Saya kena kuat dan akur dengan ujian ini. Saya bangkit semula supaya tidak terus bergelumang dengan kesedihan yang mendalam," katanya.
Isteri kepada Mohd Izwan Johar itu berkata, dia sememangnya sudah lama berhasrat untuk memiliki cahaya mata kedua.
"Sejujurnya, saya nak sangat ada anak. Terlalu nak sangat. Keinginan untuk ada anak tu memang ada.
"Apabila doktor sahkan saya hamil, saya sangat teruja tapi pada masa sama paranoid.
"Risau tiba-tiba bayi tiada atau bayi jatuh atau bayi tak ada kat dalam rahim, maka apa yang dibincangkan terjadi juga," katanya.
Menurut pelakon filem M4M4 itu, ketika ini dia juga sedih dengan suami yang sudah lama ingin menimang cahaya mata.
"Saya percaya, belum rezeki untuk kami menimang cahaya mata. Jujurnya, saya kasihan dengan suami.
"Lama dia tunggu. Kenapa susah sangat? Bila kita nak sangat, teringin sangat....
"Mahu atau tak, saya kena move on," katanya sambil menitiskan air mata.
Nabila dan Mohd Izwan diijabkabulkan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 25 Disember 2015.
Melalui perkahwinan pertama, Nabila dikurniakan cahaya mata, Keisha Laila, 10 tahun.

