Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Penting halalkan persahabatan dan cinta dengan cara betul'
Diterbitkan:  Oct 14, 2020 4:09 PM
Dikemaskini: 8:09 AM

Menjelang usianya mencecah 44 tahun pada Nov ini, penyanyi Noryn Aziz berkata, tiada lain yang menjadi harapannya selain menempuh kehidupan rumah tangga baru yang bertahan hingga ke akhir hayat.

Katanya, penting untuk dia dan suami, Shaik Rizal Sulaiman, membina dan menyuburkan rumah tangga itu secara ikhlas kerana memang itu yang menjadi harapan mereka.

Pada usia sekarang, kata Noryn, penting untuk mereka menghalalkan hubungan yang dijalin selepas mereka menjalin persahabatan dan percintaan.

"Pada usia saya 44 tahun dan suami 48 tahun, tiada apa lagi yang kami harapkan selain majlis pernikahan kami dirahmati oleh Allah SWT dan rumah tangga kami akan berkekalan sehingga ke akhir hayat kami berdua.

"Bagi saya adalah penting persahabatan cinta kita harus dihalalkan secara betul kerana ini bukan main main buat saya dan suami. Alhamdulillah Allah SWT telah makbulkan hajat kami ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Majlis pernikahan di antara Noryn dan Shaik Rizal dilangsungkan di rumah pengantin lelaki di Bukit Damansara, Kuala Lumpur malam tadi.

Hanya 30 orang ahli keluarga terdekat dan jemputan khas menghadirinya dan dilangsungkan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Noryn menerima mas kahwin sebentuk cincin.

Menurut pemilik nama sebenar Norazmahwati Abdul Aziz itu, pada awalnya mereka merancang untuk melangsungkan majlis akad nikah pada 25 Okt ini.

Bagaimanapun, disebabkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) bermula hari ini, majlis tersebut akhirnya diputuskan untuk diadakan lebih awal.

Terpikat dengan peribadi

“Alhamdulillah segala persiapan dapat dilaksanakan dengan baik dalam jangka masa 24 jam dengan pertolongan padu kaum keluarga terdekat, sahabat dan juga pasukan saya.

“Alhamdulillah, hajat dan keinginan itu tercapai dan dipermudahkan oleh Allah SWT. Kami bersyukur kerana semuanya diatur dengan mudah. Saya percaya semua ini kerana kebesaran Allah,” katanya.

Untuk rekod, Noryn pernah mendirikan rumah tangga dengan Raja Kamarul Bahrin Shah namun bercerai selepas pernikahan itu menghadapi masalah.

Hasil perkongsian hidup itu mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki Raja Bariq Umar Shah yang kini berusia enam tahun.

Noryn berkata, dia dan Rizal asalnya berkenalan pada penghujung 2019 dan hubungan itu hanya sebagai rakan perniagaan sebelum ia menjadi rapat pada pertengahan tahun ini.

“Kami mulai rapat dan serius yang akhirnya membawa kami ke alam rumah tangga.

"Semuanya berlaku sekelip mata. Baik saya dan Rizal sendiri pada awalnya tak ada pula terfikir untuk menjadi kekasih.

“Hubungan kami benar-benar secara profesional namun Shaik Rizal banyak mendorong saya untuk lebih berjaya dalam industri seni sehinggalah lama-kelamaan saya dapat rasakan kehadiran dia amat menyenangkan saya dan juga keluarga terdekat.

“Keperibadiannya memikat saya. Dia seorang yang sangat positif dan banyak memberi sokongan moral yang padu kepada saya dalam segala urusan perniagaan saya,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS