Penerima inisiatif Pelan Langkah Segera Ekonomi Industri Kreatif (PELAKSANA) fasa pertama yang berjaya akan dimaklumkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dalam masa terdekat.

Pengerusi Finas Zakaria Abdul Hamid berkata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah dijangka menyerahkan surat tawaran tersebut pada November, tertakluk kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Finas berharap agar setiap penerima yang berjaya boleh merangka pelan-pelan pelaksanaan bagi merealisasikan objektif program," katanya dalam kenyataan di Putrajaya, hari ini.

PELAKSANA dilancarkan oleh Saifuddin pada Julai lepas untuk membantu dan memberi suntikan dana kepada penggiat industri bermula Julai hingga Disember depan.

Suntikan dana tersebut bertujuan membantu syarikat perfileman untuk meneruskan semula penggambaran selain membayar hutang yang tertangguh setelah tidak dapat menjalankan penggambaran selama berbulan lamanya ekoran penularan pandemik COVID-19.

 Zakaria berkata, Program Akreditasi dan Pentauliahan Industri Kandungan Kreatif yang merupakan inisiatif Finas dengan kerjasama Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) dan pusat pengajian tinggi telah dibuka untuk pendaftaran bermula 15 Okt lepas.

Sebarang pertanyaan mengenai program berkenaan boleh menghubungi urus setia program di talian 03-41041747/ 1748 atau boleh layari https://www.finas.gov.my/program-akreditasi-dan-pentauliahan-industri-kandungan-kreatif/.

Permohonan Dana Filem Cereka Khas Kenegaraan dan Dana Program TV/OTT melalui kerjasama khas dengan pihak ASTRO boleh dibuat secara dalam talian bermula 19 Okt hingga 30 Nov depan di http://dkd.finas.gov.my.

"Finas berharap inisiatif dan usaha yang berterusan ini dapat memeriahkan lagi industri perfileman bagi menempuh cabaran ekonomi yang terjejas akibat pandemik COVID-19 sekali gus memacu industri perfileman Malaysia ke peringkat antarabangsa," kata Zakaria.

- Bernama