Showcase 25 Tahun Umbrella yang sepatutnya dijadual berlangsung Dis ini terpaksa dibatalkan gara-gara kes Covid-19 menunjukkan peningkatan membimbangkan dalam negara.

Menurut Pengarah Urusan Umbrella Music, Rizal Shah, keputusan yang diambil sememangnya amat berat memandangkan banyak persiapan yang telah dibuat demi menaikkan semula populariti dan kerjaya seni kumpulan berkenaan.

“Mengikut perancangan, Umbrella sepatutnya akan mengadakan sidang media bagi mengumumkan Showcase 25 Tahun Umbrella yang bakal berlangsung pada Dis nanti.

“Namun berikutan kenaikan kadar kes positif jangkitan Covid-19, Umbrella memutuskan untuk membatalkan sidang media termasuk showcase berkenaan,” katanya hari ini.

Biarpun sedih, pemain drum Umbrella Saiful - juga merangkap individu bertanggungjawab menyatukan kesemua ahli asal untuk kemunculan Umbrella - menyifatkan langkah tersebut dirasakan adalah wajar memandangkan situasi semasa dalam negara.

“Ini adalah langkah terbaik buat pihak yang terlibat terutama peminat Umbrella yang sememangnya ternanti-nanti persembahan kami,” katanya.

Bagi vokalis Umbrella, Zarul, biarpun showcase dibatalkan, kesempatan yang ada sepanjang berlangsungnya perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya akan digunakan sebaik mungkin.

“Setiap anggota Umbrella mempunyai masa untuk berlatih bagi memperbaiki mutu persembahan kami pada masa depan,” katanya.

Gitaris Umbrella, Hafiz turut menzahirkan kebimbangannya jika showcase tersebut diteruskan ia bakal mencetuskan kluster baru.

“Saya khuatir sekiranya terdapat kluster baru yang wujud dalam kalangan peminat yang hadir sekiranya showcase tetap dianjurkan,” katanya.

Pemain bass Umbrella, Rizal pula berharap keadaan ekonomi akan kembali pulih apabila vaksin Covid-19 terhasil nanti.

Sementara itu, Rizal turut berkongsi berita baik buat semua peminat Umbrella dan kumpulan muzik tahun 1990-an.

Katanya, Umbrella Music merancang untuk mengadakan sebuah konsert Umbrella & Friends pada tahun depan.

“Persiapan konsert tersebut masih lagi di peringkat perbincangan dan Umbrella Music bakal membuat pengumuman rasmi mengenainya pada awal tahun depan,” katanya.