Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Finas sedia pelan tindakan khusus bantu panggung wayang

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sedang menyediakan pelan tindakan khusus untuk membantu panggung wayang yang perlu menghentikan sementara operasi, kesan daripada pandemik wabak Covid-19.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah berkata Finas telah memulakan kerja menyediakan pelan itu sebaik sahaja mendengar ura-ura penutupan sementara panggung wayang ekoran kekurangan penonton pada masa ini.

Pelan bantuan itu, menurut Saifuddin sedang disiapkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Finas Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri dan Timbalan Pengerusi agensi itu Norman Abdul Halim.

"Kita juga akan menyemak jika boleh membantu mereka dalam soal pengecualian cukai hiburan yang terletak di bawah pihak berkuasa tempatan dan kita sedia berunding dengan pihak tersebut," katanya.

Saifuddin berkata demikian kepada pemberita selepas melawat mangsa ribut di Indera Mahkota 2 di Kuantan, Pahang hari ini. Dalam kejadian sekitar 8 malam tadi 85 rumah mengalami kerosakan bumbung.

Hari ini, dua pemilik rangkaian pawagam iaitu Golden Screen Cinemas (GSC) dan TGV Cinemas (TGV) dilaporkan akan menutup sementara operasi mereka mulai 2 Nov ini sebagai langkah mengawal penularan pandemik COVID-19 yang kembali meningkat sejak kebelakangan ini.

Mengulas mengenai lawatan itu, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata pejabat beliau akan membantu mangsa membaiki kerosakan rumah mereka dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Pejabat Daerah dan Tanah Kuantan.

Beliau juga menjunjung kasih kepada Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah yang berkenan mencemar duli menziarah dan mengurniakan sumbangan kepada mereka yang terlibat pagi tadi.

Sementara itu, Pengerusi KRT kawasan itu Rogayah Hassan, 65, berkata ribut semalam adalah yang terburuk pernah berlaku di situ, selepas kali terakhir berlaku pada tahun 2006 namun bilangan rumah yang terlibat semasa itu adalah kecil.

- Bernama

Lihat Komen
ADS