Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pengarah tawar peluang berlakon kepada kru penerbangan menganggur

Simpati dengan nasib golongan yang hilang punca pendapatan akibat wabak Covid-19, penerbit dan pengarah Shahrulezad Mohameddin menawarkan peluang lakonan kepada mereka, khususnya kru penerbangan yang ramai diberhentikan sebelum ini.

Bagaimanapun mereka tetap perlu melepasi saringan uji bakat yang ditetapkan.

Pun begitu, Shahrulezad, 48, masih memberikan kemudahan iaitu mereka hanya perlu menjalani uji bakat secara dalam talian sebagai permulaan.

“Kasihan pada mereka yang terkapai-kapai cari peluang pekerjaan, justeru kami ambil keputusan untuk tawarkan peluang lakonan dan kebetulan terbaca kisah syarikat penerbangan antaranya Air Asia dan Malindo Air yang mengurangkan jumlah pekerja akibat Covid-19.

“Kami mempelawa kru penerbangan termasuk sesiapa saja tak kira tua atau muda untuk tunjukkan bakat melalui sesi saringan uji bakat dalam talian, iaitu dengan menghantar video lakonan sendiri. Video ini dikira sebagai resume mereka.

“Asalkan stesen televisyen tertarik, baru kami panggil untuk sesi uji bakat secara bersemuka. Mana tahu mungkin selepas ni kita boleh temui the next Mira Filzah atau the next Syafiq Kyle,” katanya kepada Malaysiakini.

Pengarah drama rantaian popular Nur itu berkata, tiada tarikh tutup untuk menghantar video tersebut dan peluang terbuka selagi stesen televisyen memerlukan pelakon.

“Selepas kerajaan membenarkan penggambaran ketika perintah kawalan pergerakan, ramai pelakon menerima peluang pekerjaan serentak.

“Disebabkan itu, kami ingin merekrut lebih ramai pelakon kerana sesetengah produksi terpaksa menunggu giliran untuk mengambil pelakon sedia ada bekerja dengan mereka.

“Mereka yang terpilih akan diserap bermula dari peringkat pelakon tambahan, kemudian sebagai pelakon pembantu dan seterusnya mungkin pelakon utama jika mereka berbakat besar,” katanya.

Selain itu kata Shahrulezad, tawaran juga dibuka kepada mana-mana pihak yang mempunyai kediaman menarik untuk dijadikan lokasi sewa penggambaran.

“Untuk lakonan atau sewaan lokasi, mereka yang berminat boleh menghubungi Penerbit Eksekutif Hisham Karim melalui kiriman secara langsung di Instagram (DM) dengan segera,” katanya.

Lihat Komen
ADS