Syarikat YG Entertainment (YGE) menunda tayangan episod akhir program realiti dalam talian Blackpink 24/365 With Blackpink susulan protes netizen China berhubung cara mereka mengendalikan anak panda pertama Korea Selatan.

Rakaman klip video tersebut dijadual dimuat naik dalam saluran YouTube kumpulan dianggotai empat wanita berkenaan pada 7 Nov lalu.

Keputusan diambil selepas trailer dimuat naik sebelum itu mencetuskan kegemparan di China kerana memaparkan anggota kumpulan terbabit memegang anak panda tanpa memakai sarung tangan sanitari.

Kebanyakan netizen China berkata, panda adalah harta negara, justeru ketika dunia diancam Covid-19, tidak boleh disentuh tanpa memakai sarung tangan kerana mereka mudah terkena penyakit.

Anak panda itu - yang diberi nama Fu Bao - lahir pada Julai lalu melalui satu-satunya pasangan panda di Korea Selatan.

Ibu bapa anak panda tersebut - Ai Bao dan Le Bao - tiba dari China pada 2016 dan dihantar ke Korea Selatan untuk tujuan penyelidikan dan sebagai simbol hubungan dua hala antara Seoul dan Beijing.

Bagaimanapun, dalam satu kenyataan media, YGE mendakwa video berkenaan dirakam dengan kehadiran pakar veterinar dan penjaga zoo profesional sejajar dengan garis panduan kebersihan yang ketat.

“Semua anggota Blackpink memakai sarung tangan sanitari, topeng muka dan pakaian perlindungan apabila mereka bersentuhan dengan anak panda tersebut. Mereka juga mensanitasi tangan dan kasut setiap peralihan rakaman.

"Pun begitu, sebagai menghormati amalan kerjasama antarabangsa dan saranan daripada pakar panda (yang menyatakan) bukan profesional mempunyai kontak rapat dengan anak panda boleh menimbulkan salah faham, YGE bercadang untuk menunda penayangan video berkaitan,” kata kenyataan itu.