Legenda India, Soumitra Chatterjee maut akibat Covid-19
Bintang legenda India, aktor Soumitra Chatterjee meninggal dunia ketika usianya mencecah 85 tahun akibat komplikasi wabak Covid-19 semalam.
Chatterjee meninggal dunia di Klinik Belle Vue, Kolkata, India selepas dimasukkan ke pusat perubatan itu sejak 6 Oktober lalu.
Pada awal laporan menyebut Chatterjee didiagnos positif Covid-19 dan komplikasi dari penyakit yang dideritai itu mengakibatkan kematian.
Menurut pengurus rumah sakit, Pradip Tondon, tiada apa lagi dapat dilakukan meski Chatterjee dirawat kumpulan yang terdiri daripada 15 doktor terbaik di negara bahagian Bengal Barat, India, lapor CNN.
Aktor itu terlibat dalam kira-kira 300 filem sepanjang enam dekad kariernya dalam industri Bollywood. Bukan setakat pelakon, mendiang turut terkenal sebagai penyanyi, penulis skrip drama dan pelakon teater
Chatterjee juga merupakan anak didik sutradara yang pernah menerima Oscar, Satyajit Ray. Chatterjee pernah membawa karakter penting dalam 14 filem Ray antara 1959 hingga 1990, termasuk saga ketiga dalam The Apu Trology.
The Apu Trilogy menerima banyak pujian dan penghargaan, seperti di Festival Filem Cannes, Berlin, dan Venice.
Saga itu dianggap tonggak sejarah perfileman India dan masih dianggap karya paling dipuji dalam gelombang baru perfileman negara itu.
Chatterjee dianugerahkan penghormatan tertinggi dalam bidang perfileman di India, Dadasaheb Phalke, pada tahun 2011.
Menurut kedutaan India di Paris, pada tahun 1999, Chatterjee adalah personaliti filem India pertama yang dianugerahkan dengan Ordre des Arts et des Lettres, anugerah tertinggi seniman Perancis dan pada tahun 2017, dia dianugerahkan dengan anugerah awam tertinggi Perancis, Chevalier of Legion of Honor.
Kematian Chatterjee diiringi ratapan daripada peminat termasuk pengkritik perfileman India.
Anak perempuan Chatterjee, Poulami Bose berkata, keluarganya bersedih dengan kematian itu dan meminta peminat mendoakan mendiang.
Sejumlah ahli politik India juga meluahkan perasaan dukacita mereka, antaranya Perdana Menteri, Narendra Modi.
"Kematian Shri Soumitra Chatterjee adalah kehilangan besar bagi dunia perfileman, kehidupan budaya Benggala Barat dan India," kata Perdana Menteri India, Narendra Moli dalam ciapannya di Twitter.

