Peguam mewakili seorang pendakwah selebriti yang kini ditahan reman oleh polis menyatakan kebimbangannya terhadap kemungkinan ada pihak sengaja membuat laporan ke atas anak guamnya untuk memburukkan lagi keadaan.

Justeru Syed Amirul Syed Edros meminta polis mengambil tindakan tegas ke atas pengadu yang memfailkan laporan palsu dengan mendakwa menjadi mangsa rogol atau cabul bekas peserta program siri realiti televisyen terbabit.

“Saya berharap polis bukan saja memberikan status tiada tindakan lanjut (NFA) kepada dua laporan rogol dan cabul terhadap anak guam saya.

“Saya juga harap sekiranya terdapat unsur laporan palsu dalam kedua-dua laporan NFA, ambil tindakan kepada pengadu kerana kita juga - selain menegakkan hak hak mangsa sekiranya berlaku jenayah - kita juga hendak menegak hak anak guam saya.

“Kita takut ada pihak yang sengaja membuat laporan untuk menambah serta memburukkan lagi keadaan anak guam,” katanya dipetik Malaysia Gazette.

Semalam, Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Siti Mazrah Mohamad membenarkan perintah reman lima hari lagi untuk polis menyiasat suspek di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Dengan kebenaran itu penyanyi dan pelakon itu akan kekal ditahan dalam lokap polis sehingga 11 Dis ini.

Dalam pada itu dia sempat mengucapkan terima kasih kepada media yang membuat liputan yang dihadapi serta meminta agar orang ramai mendoakannya.

Sebelum ini, polis Petaling Jaya mengesahkan menerima dua laporan terhadap suspek dengan satu daripada laporan atas dakwaan merogol dan satu lagi atas dakwaan cabul dan seks luar tabii.

Pada 27 November lalu, suspek direman selama 10 hari berhubung dakwaan kes rogol kenalan Instagramnya di Seksyen 7, Shah Alam, yang berlaku pada September tahun lepas.

Kata Syed Amirul, polis wajar berlaku adil dan tindakan sedemikian penting untuk diambil kerana orang awam mudah menganggap sekiranya laporan dibuat, ia bermaksud anak guamnya benar-benar bersalah.