Finas iktiraf 33 festival filem antarabangsa
Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) memaklumkan badan itu bersetuju mengiktiraf 33 Festival Filem Antarabangsa dalam Mesyuarat Ahli Perbadanan itu yang dipengerusikan Zakaria Abdul Hamid hari ini.
Finas dalam kenyataannya berkata, agensi itu sentiasa meraikan pencapaian terkini filem tempatan termasuklah filem yang menerima anugerah pada festival filem luar negara.
“Finas mempelawa semua penerbit filem tempatan untuk menyertai festival filem yang diiktiraf menerusi Jawatankuasa Pemilihan Filem Finas dan boleh dipertimbangkan untuk menerima bantuan melalui inisiatif yang dilaksanakan,” menurut kenyataan itu.
Antara festival tersenarai adalah Festival Antarabangsa Berlin yang dianjurkan German, Festival Antarabangsa Cannes (Perancis), Festival Filem Antarabangsa Busan (Korea Selatan), Filem Festival Sundance (AS), Anugerah Akademi atau Oscars (AS), Third Eye Asian Film Festival Mumbai (India), Festival Filem Antarabangsa Singapura (Singapura) dan Festival Filem Antarabangsa Venice (Itali).
Selain itu, badan tersebut juga akan meraikan pemenang dan penerima anugerah di Festival Filem Antarabangsa bagi tahun 2020 dalam satu majlis penghargaan yang akan diadakan dalam masa terdekat.
Pada masa sama, Finas memaklumkan Program Akreditasi dan Pentauliahan Industri Kandungan Kreatif yang merupakan inisiatif Finas dengan kerjasama Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) dan Pusat Pengajian Tinggi telah dibuka untuk pendaftaran bermula 15 Oktober lalu.

