Aktivis hak wanita dan pengamal undang-undang di Indonesia mengecam pendakwaan terhadap Gisella Anastasia berhubung rakaman video seks melibatkan penyanyi berkenaan.

Di Indonesia, membuat rakaman video seks merupakan satu kesalahan undang-undang dan boleh dihukum penjara sekiranya sabit kesalahan.

"Undang-undang antipornografi harus dipinda, kerana undang-undang ini diluluskan dengan tergesa-gesa dan tidak dibincangkan secara terperinci dengan orang ramai," kata Olin Monteiro, seorang aktivis wanita dan pengasas Arts for Women, yang membantah undang-undang tersebut sebelum ia diluluskan pada tahun 2008.

"Undang-undang tidak boleh mendakwa kita kerana kita membuat rakaman dewasa untuk kegunaan peribadi.

"Undang-undang seperti ini menyusahkan wanita dan kumpulan terpinggir yang lain. Mangsa balas dendam, misalnya, akan takut melaporkan kes mereka kepada penguatkuasa,” katanya seperti dipetik South China Morning Post.

Video seks selama 19 saat antara Gisella dengan seorang lelaki, yang dikenali sebagai Michael Yukinobu Defretes, dikongsi secara meluas di Twitter sejak 6 Nov lalu.

Gisella, bekas isteri personaliti televisyen popular Gading Marten, dipanggil oleh pihak polis sebanyak dua kali untuk disoal siasat berhubung rakaman itu.

Menurut polis, peserta Indonesian Idol itu mengaku bahawa wanita dalam video berkenaan adalah dirinya.

Rakaman tersebut dibuat di sebuah hotel di Medan pada 2017 ketika ibu seorang anak itu masih berstatus isteri kepada Gading.

Gisella dan Defretes didakwa di bawah Artikel 4 dan 8 undang-undang antipornografi di Indonesia yang sekiranya sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 12 tahun.

Gisela juga memberitahu pihak polis bahawa dia kehilangan telefon bimbit selepas rakaman itu dilakukan.

Polis masih mencari suspek lain yang didakwa pertama kali berkongsi video tersebut.