Pengacara terkenal, Neelofa menyifatkan individu yang menyebar fitnah terhadap dirinya dan bekas peserta Pencetus Ummah (PU) Haris Ismail masih terlalu muda.
Justeru, enggan memanjangkan kemelut yang melanda, Neelofa berkata dia memaafkan pemilik akaun Twitter berkenaan, Syamira Safiya dengan seikhlas hati.
“Adik, kamu masih muda, baru belasan tahun. Jauh lagi perjalanan.
“Saya maafkan seikhlas hati. Semoga Allah menjagamu,” katanya.
Pemilik nama penuh Noor Neelofa Mohd Noor, 31, itu berkata, apa yang berlaku sebelum ini pasti ada pengajaran yang boleh dijadikan iktibar.
“Apa yang lepas memang sangat pahit untuk dihadapi tapi ada banyak hikmah yang tersirat,” katanya yang juga seorang pelakon dan usahawan terkemuka.

Haris atau PU Riz yang bersetuju dengan kenyataan tersebut kemudian mengulang siar kata-kata Neelofa melalui Insta Story miliknya.
Terdahulu, Syamira dalam permohonan maafnya mengaku dia mengeluarkan dakwaan tanpa asas dan tidak benar terhadap Neelofa dan PU Riz.
Syamira turut menegaskan dia tidak berniat jahat ketika menulis kenyataan tersebut selain menyesal dengan tindakannya.
Syamira sebelum ini menyebarkan cerita berserta tangkap layar mesej aplikasi WhatsApp yang didakwanya situasi berlaku di sebalik hubungan Neelofa dengan Haris.
Hubungan pasangan tersebut yang sebelum ini dikatakan telah mengikat tali pertunangan didakwa berantakan selepas adik-beradik Neelofa memuat naik kenyataan sama seolah-olah membayangkan sesuatu tidak enak terjadi.
Malaysiakini melaporkan Neelofa menafikan tuduhan yang mendakwa dia sudah berkahwin di Kelantan, terkena ubat pengasih dan memindahkan sejumlah duit yang banyak kepada pendakwah muda itu.
