Siti sebak bangunan kelasnya hanya nampak bumbung
"Bangunan kelas saya belajar hanya nampak bumbung, Allah,” demikian kata Siti Nurhaliza Taruddin mengenai bangunan sekolah lamanya di Pahang yang dilanda banjir ketika ini.
Penyanyi nombor satu negara itu berkata, dia hanya mampu menitipkan doa dan berjanji akan membantu warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford, Lipis.
“Saat ini, dengan keadaan saya sekarang, mungkin saya tidak dapat turun padang seperti lazimnya untuk melihat sendiri keadaan banjir.
“Namun saya titipkan doa dan membantu apa yang termampu kerana memahami keadaan sukar buat semua mangsa banjir,” katanya di Instagram hari ini.
Justeru, bagi meringankan beban ditanggung pihak sekolah, Siti Nurhaliza, 41, mengajak pengikut di media sosial dan rakan-rakannya untuk menyumbang apa yang termampu.
“Semoga usaha ini akan diberkati dan saya juga mengajak pengikut, rakan alumni sekolah serta sesiapa saja yang mahu menyumbang bagi membantu meringankan beban sekolah akibat bencana banjir,” katanya.
Untuk rekod, penyanyi Bukan Cinta Biasa itu mengesahkan dirinya berbadan dua pada 1 Dis lalu dengan usia kandungan ketika itu berusia empat bulan.
Siti Nurhaliza mendirikan rumah tangga dengan Khalid Mohamad Jiwa pada 2006 dan hasil perkongsian hidup itu pasangan berkenaan dikurniakan anak Siti Aafiyah yang kini berusia lebih dua tahun.
Sementara itu, pengurus Siti Nurhaliza, Rozi Abdul Razak - juga melalui perkongsian di Instagram meluahkan perasaan sebak selepas melihat sekolah mereka yang kelihatan tinggal bumbung saja.
“Melihat keadaan SMK Clifford, Lipis, pagi ini membuatkan saya sebak. Sekolah yang sudah berusia lebih 100 tahun, mempunyai khazanah-khazanah tahun bertahun, sejarah yang tak mungkin ada galang ganti, hampir tenggelam sepenuhnya.
“Hari ini, sebagai Naib Yang DiPertua, alumni LOCA atau Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Clifford, Lipis, Pahang, saya mengalu-alukan jasa baik dan sumbangan kalian dalam bentuk kewangan (kecemasan),” katanya.
Pada masa sama, Rozi berkata, dia akan memaklumkan beberapa sumbangan lain seperti tenaga sukarela, waterjet, makanan dan minuman yang diperlukan bagi menjayakan hari gotong-royong pembersihan nanti.
“Moga Allah permudahkan usaha ini nanti, amin,” katanya.

