Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Penggambaran di negeri bawah PKP dilarang
Diterbitkan:  Jan 12, 2021 9:49 PM
Dikemaskini: 1:50 PM

Semua syarikat produksi tidak dibenarkan menjalankan sebarang aktiviti penggambaran di lima negeri dan tiga wilayah persekutuan yang akan diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula tengah malam ini hingga 26 Jan depan.

Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Zakaria Abdul Hamid bagaimanapun berkata, penggambaran boleh diteruskan seperti biasa di  beberapa negeri lain yang diletakkan di bawah PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP).

"Finas mengambil maklum akan siaran media bertarikh 12 Januari lalu oleh Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali yang telah memperincikan senarai sektor ekonomi perlu (Essential economic sector) dan dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP di Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

"Walaubagaimanapun, sektor industri kreatif tidak tersenarai sebagai sektor ekonomi yang dibenarkan dalam tempoh PKP buat masa ini.

"Namun penggambaran boleh diteruskan seperti biasa di tempat PKPP dan PKPB dengan syarat syarikat produksi perlu mematuhi semua garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan lima negeri dan tiga wilayah persekutuan yang diletakkan di bawah PKP bagi tempoh 14 hari iaitu Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor, Sabah, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

PKPB bagi tempoh sama dikuatkuasakan ke atas enam buah negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Dua negeri lagi iaitu Perlis dan Sarawak akan dilaksanakan PKPP bagi tempoh sama.

Menurut Zakaria, bagi kawasan yang dibenarkan penggambaran, pihak produksi perlu mematuhi SOP yang ketat.

"Ia meliputi protokol pencegahan penyakit dan sekatan, saringan kesihatan, pembersihan dan nyah kuman premis, penjarakan fizikal dan tatacara keselamatan pekerja serta tindak balas kecemasan," katanya

Pada masa sama, Zakaria berkata, Finas akan memaklumkan perkembangan terkini dari masa ke semasa melalui medium hebahan media.

Lihat Komen
ADS