Roy dirawat dalam wad ICU
Penyanyi Ratnaku, Roy, dilaporkan sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) selepas mengalami masalah sesak nafas baru-baru ini.
Memetik kenyataan isteri penyanyi itu, Haslinda Abd Rahman, Harian Metro melaporkan Roy dimasukkan ke wad ICU Hospital Sungai Buloh pada (HSB) 26 Jan lalu.
Untuk rekod asalnya Roy, 57, dimasukkan ke Hospital Banting pada tengah malam 23 Jan lalu kerana menghadapi masalah sesak nafas.
Di situ pihak hospital melakukan ujian saringan dan keputusan menunjukkan Roy dijangkiti Covid-19. Dia kemudian dipindahkan ke HSB.
"Saya pun tak dapat nak menghubungi dia secara terus kerana suami masih lagi dirawat di ICU.
"Jadi, saya hanya mampu menunggu apa-apa berita daripada pihak hospital," katanya.
Menurut Haslinda lagi, dia bersama dua anaknya sedang menjalani kuarantin kendiri di rumah mereka.
"Kami dah menjalani ujian swab (calitan), namun belum menerima sebarang keputusan ujian.
"Selain itu, ada beberapa simptom seperti demam, mula kami alami," katanya.

