Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) menggesa kerajaan supaya mengeluarkan garis panduan bagi penggambaran drama dan filem secepat mungkin.

Setiausaha Agung Seniman Hafiz Nafiah berkata langkah itu perlu bagi meringankan beban penerbit yang terikat dengan kontrak stesen televisyen bagi menyiapkan sebuah karya.

“Sehubungan itu, Seniman memohon agar pihak kerajaan dapat mengeluarkan garis panduan atau prosedur operasi standard (SOP) kepada kami untuk meneruskan penggambaran demi kelangsungan hidup dalam tempoh yang amat mencabar ini.

“Penerbit juga terikat dengan kontrak bersama dengan stesen televisyen yang mempunyai had tempoh untuk menyiapkan sesebuah karya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Hafiz, Seniman turut mempersoalkan usaha kerajaan membuka sektor pengilangan meskipun industri terbabit dikatakan penyumbang terbesar kes Covid-19.

“Seniman percaya industri kreatif juga adalah sektor yang penting di Malaysia.

“Jika sektor perkilangan dibenarkan beroperasi mengapa industri kreatif tidak dibenarkan? Kami sedia mematuhi segala garis panduan dan SOP yang ditetapkan oleh pihak kerajaan,” jelasnya.

Pada 2 Feb, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Zakaria Abdul Hamid, berkata mereka telah menghantar kertas cadangan SOP penggambaran dalam studio kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) melalui Bahagian Pembangunan Kandungan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM). 

Namun, agensi itu sehingga kini masih belum menerima sebarang jawapan daripada MKN.

Hafiz juga berkata, Seniman gusar akan keadaan kru penggambaran yang terkesan kerana tiada kerja akibat Covid-19.

“Seniman sangat bimbang dengan ahli-ahli kami (kru penggambaran) yang semakin terhimpit akibat wabak Covid-19 disebabkan tiada tawaran kerja yang menyebabkan keadaan kehidupan mereka semakin tertekan.

"Seniman sekali lagi mendesak pihak kerajaan untuk mengeluarkan garis panduan dan SOP kepada warga industri kreatif secepat mungkin untuk kami meneruskan penggambaran demi kelangsungan hidup kami dan keluarga,” katanya lagi.