Muaz Mohamed bakal mengendalikan segmen karpet merah Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) bagi menggantikan Shuk Sahar yang baru-baru ini dikaitkan dengan krisis rumah tangga.

Pengacara dan penyampai radio Kool FM itu akan digandingkan dengan penyanyi Sissy Iman pada majlis AJL35 yang dijadual berlangsung pada 14 Mac ini.

AJL35 sepatutnya bersiaran pada 7 Feb lalu di Auditorium MBSA, Shah Alam, Selangor namun ditunda kerana pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad & Primeworks Studios, Khairul Anwar Salleh, AJL35 diteruskan selepas mendapat kebenaran Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Khairul Anwar bagaimanapun berkata, mereka masih lagi tertakluk dengan sebarang perubahan yang mungkin akan diumumkan kerajaan kelak.

"Kami bersedia untuk menganjurkan AJL35 dalam norma baru. Penularan Covid-19 ini membuatkan kami lebih menitikberatkan kesihatan kakitangan, artis serta mereka yang terlibat menjayakan produksi ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Anugerah berprestij itu akan dihoskan oleh Awal Ashaari, Sherry Alhadad dan Haziq Hussni.

Sebanyak 12 lagu akan bertanding iaitu Semalam nyanyian Aina Abdul, 7 Nasihat (Shiha Zikir, Kmy Kmo, Luca Sickta), Belenggu Rindu (Wany Hasrita, Jamal Abdillah), Peluang Kedua (Nabila Razali), Hati (Hael Husaini), Hutang (Floor 88), Gila (Kaka Azraff, Noki, Loca B), Eh! (Zizi Kirana), Kau Sakiti (Amir Masdi), Jangan Khianati Aku (Azlan & The Typewriter), Gundah (Ernie Zakri) dan Aku Bidadari Syurgamu (Aishah).

Menurut Khairul Anwar, dalam situasi penularan pandemik ini, pihaknya akan memanfaatkan kebenaran serta kelonggaran yang diberikan oleh MKN yang telah berkuatkuasa bermula 8 Jan lalu.

“Apabila mendengar keputusan tersebut, perancangan teliti dibuat untuk memastikan kelancaran acara tahunan berprestij ini dan merancang untuk menganjurkan AJL35 pada 14 Mac 2021.

"Namun tarikh tersebut bukanlah tarikh muktamad kerana kami perlu akur dengan sebarang ketetapan yang bakal diumumkan oleh pihak MKN dari semasa ke semasa berkaitan tempoh PKP," katanya.

Terdahulu, Shuk digantung sementara oleh Hot FM bertujuan memudahkan stesen radio tersebut melakukan siasatan dalaman berhubung isu membabitkannya.

Krisis rumah tangga membabitkan Shuk ternyata bukan lagi rahsia selepas isterinya, Rossalennah Natassiah Asshaferah atau Sera mendakwa pelawak yang juga pelakon itu bermain kayu tiga baru-baru ini.