Malaysiakini
SENI & HIBURAN

Ayah nafi Nissa Sabyan bernikah dengan suami orang

Diterbitkan
Dikemaskini 23 Feb 2021, 5:50 pagi

Susulan kontroversi Nissa Sabyan dituduh menjadi orang ketiga dalam rumah tangga, ayah penyanyi kumpulan Sabyan Gambus itu tampil membuat penafian.

Menurut Kamorudin, Nissa tidak dinikahi pemain keyboard kumpulan Sabyan Gambus, Ayus.

Kata Kamorudin dia cukup mengenali sifat Nissa selain yakin anaknya itu tidak berani menjadi perampas suami orang.

“Tidak ada (perselingkuhan). Itu semua khabar angin tidak berasas. Kan saya orang tua Ummi (nama panggilan Nissa). Saya tahu kedudukan anak saya,” katanya menerusi saluran YouTube KH Intainment.

Nissa, 21, sebelum ini dilaporkan membahasakan dirinya sebagai Ummi setiap kali berbual dengan Ayus.

Ayus atau nama penuhnya Ahmad Fairus kelmarin tampil memohon maaf atas kekhilafan terhadap isterinya Ririe Fairus selepas dituduh berlaku curang dengan Nissa.

Kenyataan Ayus itu dibuat bagi merungkai pelbagai dakwaan dan kontroversi yang mendakwanya menjalin hubungan romantis dengan Nissa sejak dua tahun silam.

Semoga jadi lebih baik

Permohonan maaf itu pula terbit selepas dia diugut cerai oleh isterinya, Ririe.

“Assalamualaikum. Saya, Ayus Sabyan, ingin menyampaikan tentang berita yang sedang beredar saat ini.

“Saya dengan penuh kesedaran dan ketulusan ingin memohon maaf kepada isteri, keluarga, teman-teman Sabyan, dan semua yang merasa tidak selesa dengan kekhilafan yang saya lakukan,” katanya dalam sebuah rakaman video disiarkan Tribun News.

Ayus juga meminta dia doakan supaya segala yang terjadi boleh mengubahnya menjadi insan lebih baik.

“Mohon doanya semoga saya boleh menjadi lebih baik lagi pada masa depan, terima kasih,” katanya.

Pun begitu, dalam permohonan maaf yang dibuat itu, Ayus, langsung tidak menyebut nama Nissa.

Nissa atau nama sebenarnya Khoirunnisa Kamorudin ketika ini masih mengunci mulut berhubung dakwaan yang dikaitkan terhadapnya.

Nissa dan Ayus (kanan)

Terdahulu, pendedahan itu dibuat adik Ayus, Fadhila Nova yang mendakwa Nissa adalah orang ketiga mengganggu rumah tangga abang dan kakak iparnya.

“Ya betul, orang ketiga adalah Nissa Sabyan. Nissa dan Ayus memang sedang bercinta dan mengaku saling mencintai di antara satu sama lain," katanya.

Menurut Nova, keluarga mereka juga sudah mengetahui mengenai kisah kecurangan abangnya sejak dua tahun lalu.

Katanya, Ririe pertama kali mengetahui Ayus berlaku curang dengan Nissa pada 2019 selepas membaca mesej mereka.

Ririe pernah berbicara soal kecurangan itu dengan Ayus dan Nissa. Nissa didakwa sempat meminta maaf dan berjanji akan cuba melepaskan Ayus namun perselingkuhan mereka tetap berlanjutan.

Kisah Nissa dan Ayus mula menjadi bualan ramai selepas Ririe memfailkan tuntutan cerai di Mahkamah Syariah Jakarta Utara, baru-baru ini.

Kumpulan Sabyan Gambus mula aktif pada 2017 dan terkenal dengan muzik berunsur kerohanian.

Selain Nissa dan Ayus, Sabyan Gambus turut dianggotai pemain darbuka, Kamal Juanda.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.