Meskipun diberi jolokan The New Malique oleh peminat, penyanyi rap Siqma berazam dia sedaya upaya akan cuba mengubah persepsi itu walaupun suaranya disifatkan saling tak tumpah seperti Malique Ibrahim.

Siqma yang menganggap Malique sebagai seorang mentor dalam bidang nyanyian berkata, dia sebenarnya masih dalam proses “belajar.”

Justeru, Siqma atau nama sebenarnya Rahmat Zulhilmi Abdul Razak memohon maaf sekiranya memang terdapat persamaan antara dia dan Malique.

“Saya perlu belajar dan belajar lagi. Tapi jika tersama, saya minta maaf. Selepas ni saya akan cuba ubah gaya dan cara penyampaian nyanyian saya,” katanya.

Malique atau lebih sinonim dengan gelaran Mr General ialah seorang penyanyi, komposer dan penerbit yang namanya meledak dengan kumpulan Too Phat.

Seorang lagi ahli kumpulan itu ialah Joe Flizzow. Mereka kemudian bergerak secara solo selepas kumpulan itu dibubarkan pada 2007.

Pada masa sama, Siqma yang turut berkebolehan menulis lirik berkata, adalah jauh untuk membandingkan karyanya dengan sesiapa apa lagi untuk menandingi atau dibandingkan dengan Malique.

“Memang saya tak boleh nak ganti Malique. Dia ada cita rasa sendiri, kualiti dan idea sendiri. Bagi saya, dia seorang legenda.

“Malique tidak kedekut ilmu. Dia juga memperkenalkan saya kepada Universal Music Malaysia,” katanya.

Siqma, 27, ditemui pada majlis ramah mesra artis naungan Universal Music Malaysia di Bysnc Studio, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dia mula mendapat gelaran The New Malique sejak tampil dengan lagu Cemas dan Salam 001 pada April tahun lalu.

Melalui tona vokal, intonasi rap, seni lirik dan muziknya yang terus mencuri perhatian pendengar muzik tempatan, Siqma juga mampu memperdaya peminat hingga ada menyangkakan Raja Simurgh adalah dendangan dan ciptaan Malique sendiri.

Siqma kemudian muncul dengan lagu keempat yang mendapat sentuhan Malique, diberi judul Dipinggirkan. Turut ditampilkan dalam lagu tersebut, kumpulan duo, Fahimi Rahmat dan Mal Hamka atau lebih dikenali FML.

Selain Malique, Dipinggirkan turut mendapat sentuhan Fahimi. Llirik pula ditulis bersama Malique, Kmy Kmo dan Siqma. Malique juga bertindak selaku penerbit lagu itu.

Mengulas pendekatannya memilih untuk berkolaborasi dengan FML, Siqma berkata, dia selesa bekerja dengan mereka kerana berasakan sesuatu yang cukup unik.

“Saya yakin mereka adalah pilihan yang tepat. Ketika proses pembikinan Dipinggirkan, kami ada aura yang sama dan saya amat selesa bekerjasama dengan mereka,” katanya.

Sementara itu, bercerita maksud di sebalik Dipinggirkan, Siqma berkata, lagu itu didedikasikan untuk arwah ibunya.

Menurut Siqma, ia membayangkan kehilangan tempat mengadu, namun perlu cekal untuk tidak lemah semangat dengan ketiadaan arwah.

“Walaupun mak dah pergi, saya kena kuatkan semangat dan fikirkan setiap nasihat diberikan untuk teruskan kehidupan,” katanya.