Aamir Khan dijangkiti Covid-19
Pelakon terkenal Bollywood, Aamir Khan disahkan positif Covid-19.
Menurut laporan media tempatan seperti Hindustan Times dan The Indian Express, perkara itu disahkan jurucakap bintang gred-A berusia 56 tahun itu.
“Aamir Khan disahkan positif Covid-19. Dia kini berada di rumah untuk kuarantin kendiri, mematuhi semua protokol dan dia baik-baik saja.
“Semua yang mempunyai kontak dengannya kebelakangan ini patut mengambil ujian (Covid-19) sendiri sebagai langkah berjaga-jaga.
“Terima kasih atas ucapan dan keprihatinan anda semua,” jurucakap tersebut dipetik sebagai berkata.
Aamir merupakan selebriti Bollywood terbaru yang disahkan positif Covid-19. Ranbir Kapoor dan Kartik Aaryan, serta pengarah tersohor Sanjay Leela Bhansali turut disahkan positif bulan ini.
Aamir dikenali menerusi pelbagai filem pecah panggung termasuk Mann, Raja Hindustani, PK, Dangal, 3 Idiots, dan banyak lagi.
Dia dilaporkan dalam proses pengambaran filem terbarunya Laal Singh Chaddha, yang merupakan adaptasi filem Forrest Gump yang dibintangi Tom Hanks.

