Penyanyi Baby Shima bersumpah dia tiada niat langsung untuk mempersenda aksi pergerakan tokoh orang kelainan upaya (OKU), Muhammad Zhariff Affandi, melalui hantaran video di aplikasi TikTok baru-baru ini.

Kata Baby Shima, dia pada awalnya langsung tidak menyedari bahawa Zhariff adalah seorang OKU.

Hanya selepas kandungan video dimuat naik ke platform berkenaan, katanya, barulah dia dimaklumkan netizen perbuatannya itu tidak berpatutan kerana mengajuk seorang OKU.

“Pertama sekali, Shima nak jelaskan tentang video yang viral diperkatakan ketika ini. Benda ni berlaku empat hari lepas. Shima ada ternampak video tu, Shima tak tahu yang insan tu OKU.

“Jadi, Shima saja-saja buat kandungan. Selepas 30 minit ia dimuat naik, Shima tengok komen menyatakan insan tersebut OKU dan Shima segera cek kesahihanya sebelum padam video tersebut dengan rasa penyesalan.

"Sumpah, demi Allah Shima tak ada niat langsung mempersendakan dia,” katanya.

Justeru, secara terbuka, pemilik nama sebenar Nor Ashima Ramli itu memohon maaf melalui Instagram miliknya hari ini.

Janji takkan buat lagi

Mengiringi kenyataan itu, Baby Shima, 28, memuat naik video dia menghubungi Zhariff.

“Tetapi ada orang sempat rakam dan muat naik kat Twitter video ni, tak tahu apa tujuan orang tu buat, mungkin nak mengeruhkan lagi keadaan.

“Bagaimanapun Shima ambil kesempatan ini untuk memohan maaf, dan Shima pun dah bercakap dengan abang @zhariff_afandi tadi,” katanya.

Dalam video terbabit, Shima melakonkan semula aksi Zhariff yang dilahirkan tanpa kedua-dua belah tangan dan menggunakan anggota kaki untuk melakukan tugas harian dalam satu sesi temu bual untuk program televisyen.

Aksi penyanyi yang namanya melonjak di Indonesia itu menerima kecaman di media sosial selain dia dilabel tidak sensitif terhadap perasaan OKU.

Untuk rekod, Zhariff berkelulusan bidang psikologi perkembangan dari Universiti Griffith Australia. Dia pernah menerima Anugerah Belia Perdana 2011 serta pemilik syarikat The Zhariff Initiative Sdn Bhd.

Selain itu, namanya dikenali ramai selepas berenang sejauh 6.5km dari Pulau Kapas ke Marang, Terengganu, dalam tempoh kurang 2 jam 47 minit pada Kejohanan Swimathon Antarabangsa 2012.

Baby Shima kemudian berjanji untuk menjadikan kesilapan itu sebagai pengajaran pada masa depan.

“Insya-Allah, Shima akan ambil ni jadikan sebagai pengajaran buat diri Shima. Shima akan lebih berhati-hati,” katanya.