Aktres Ika Nabella tampil membuat pengakuan yang dia pernah menghasut Nonny Nadirah untuk berpakaian seksi sebelum ini tetapi ditolak.
Menyuarakan kebimbangannya melihat Nonny berkongsi imej seksi di Instagram, Ika berkata kawannya itu sebelum ini tidak pernah termakan hasutan sesiapa walaupun untuk memakai seluar pendek.
Dia yang kini bertudung itu berkata, Nonny seorang wanita yang mempunyai prinsip hidup dan berpakaian seksi bukanlah gaya yang mahu diikuti aktres tersebut.
“Ia amat mengecewakan. Saya menangis dan fikir mengenainya sejak hantaran pertama (dimuat naik Nonny).
“Saya kenal hati budi dia. Dia bukan seperti tu. jika dulu, ya, sayalah yang jahat. Dia pakai seluar pendek pun tak reti. Singlet pun tak tau pakai. Saya yang ajar dia fesyen bodoh.
“Dia tak pernah nak ikut pun. Malu kata dia. Dia tahu siapa diri dia dan keutamaannya untuk ibu dan orang tersayang,” katanya.
Terdahulu, Nonny yang sebelum ini bertudung tiba-tiba mencetuskan tanda tanya apabila memuat naik hantaran video memaparkan imej wanita tidak bertudung, berseluar pendek dengan mengenakan stoking jaring.
Wanita itu dipercayai adalah Nonny.
Perkongsian tersebut diikuti dengan kapsyen: “Bagus dapat kembali semula.”
Terbaru, selepas imej seluar pendek dan berstoking, Nonny dipercayai memuat naik gambar terbaru yang memaparkannya berkemban dalam sebuah besen dengan kapsyen “sabun.”
Malaysiakini sudah cuba menghubungi dan meninggalkan mesej kepada Nonny namun tidak mendapat sebarang respons.
Pun begitu, Ika atau nama penuhnya Ika Nabila Abdul Rahim itu berkata, enggan mengulas lanjut perkara tersebut.
Namun, Ika, 31, percaya, jika Nonny menganggapnya sebagai seorang kawan, aktres itu akan bertemu dan meluahkan situasi yang sedang membelengu fikirannya.
“Saya tak mahu ulas apa-apa. Saya manusia biasa," katanya.
Pada masa sama, dia berkata Nonny seorang yang sering memendam masalah yang dihadapi kepada kawan-kawannya, dan berkata dia sentiasa ada untuk kawannya itu.
"Aku ada di sini...Kalau kau (Nonny) ada depan aku, mungkin aku lempang dulu baru peluk..Inilah perangai buruk kau dari dulu suka diam-diam simpan masalah lepas tu buat hal,” katanya lagi.
Sementara itu, dalam perkongsian berbeza, pelakon Bahagia Bukan Bidaan tersebut mengulas berkaitan masalah kesihatan mental.
Namun, kenyataan itu dibuat tanpa mengaitkan dengan mana-mana individu secara khusus.
Katanya, setiap manusia mempunyai kisah berbeza untuk diceritakan dan tidak wajar jika ada orang yang terus menjatuhkan hukuman sebelum mendengarnya.
“Lihat sekeliling kita. Buka mata. Jangan hidup dalam penipuan. Sakit mental itu wujud. Ia menyebabkan seseorang itu kelihatan gembira, ketawa seperti biasa hingga pada satu tahap mereka tak boleh mengawalnya lagi,” katanya.
