Pelakon terkenal Indonesia, Reza Rahadian membuat pendedahan mengejutkan apabila dia mengaku pernah berbohong mengenai keberadaan bapanya.

Membuat pengakuan melalui sebuah wawancara yang dimuat naik di saluran YouTube Daniel Mananta Networks Reza berkata sebelum ini dia memang mengaku bapanya meninggal dunia.

“Jika anda pernah mendengar mengenainya, saya ada menyatakan bapa saya sudah meninggal dunia,” katanya.

Namun, pelakon Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck itu mempunyai alasan berbuat demikian.

Kata Reza dia betul-betul tidak pernah pernah mengenali siapa lelaki yang menjadi bapanya kerana ditinggalkan ketika usianya baru enam bulan.

Sebagai seorang personaliti yang sentiasa menjadi perhatian umum, Reza, 34, mengambil keputusan untuk berbuat sesuatu bagi menghentikan pertanyaan orang ramai.

Justeru, katanya dia berasa perlu 'berbohong' mengenai realiti kehidupan dia bersama bapanya itu.

“Sebenarnya, saya bercakap begitu untuk hentikan pertanyaan. Sejujurnya, saya tak pernah tahu sama ada dia masih hidup atau sudah meninggal dunia.

“Bapa pergi meninggalkan kami sejak saya berusia enam bulan lagi,” katanya yang juga popular melalui filem My Stupid Boss dan Habibie & Ainun itu.

Reza yang pernah membintangi filem Perempuan Berkalung Sorban itu memberitahu, dia dibesarkan oleh ibunya, Pratiwi Widantiti seorang diri.

“Ibu jalankan tanggungjawab sepenuhnya sebagai ketua keluarga. Dia seorang ‘ayah’ yang sangat hebat,” katanya memuji orang tuanya itu.

Pada masa sama, Reza turut menceritakan keperitan hidup yang dilalui sebelum namanya dikenali umum sebagai seorang anak seni.

Selain menjadi tenaga pengajar, kata Reza dia pernah menjual karpet untuk membantu ibunya yang kehilangan pekerjaan.

“Saya lakukan apa saja yang boleh mendatangkan duit untuk keperluan hidup. Ia termasuk mengajar dan menjual karpet. Ibu ajar saya untuk jadi kuat.

“Menurut ibu, suatu hari nanti mungkin cabaran hidup yang akan dilalui saya akan lebih dahsyat,” katanya.