Malaysiakini
SENI & HIBURAN

Usah mudah menghakimi golongan tak berada, kata Erma

Nadia Azam

Diterbitkan

Selepas menyaksikan sendiri situasi sebenar dialami golongan asnaf dan miskin tegar, Erma Fatima kini mempunyai perspektif berbeza mengenai kesukaran dialami mereka.

Justeru, penerbit dan pengarah itu tampil dengan kempen Sebuah Kehidupan untuk mengajak masyarakat bersama-sama bersedekah menjelang Ramadan bagi mengubah nasib golongan tersebut.

“Kita mudah sangat menghakimi golongan memerlukan seperti ni. Kita anggap mereka semua enggan mencari pekerjaan untuk mengubah nasib sendiri.

“Tapi sebenarnya kita yang tak cuba faham situasi sebenar dan kepayahan mereka.

“Siapa tahu mereka ni mungkin adalah tunggak keluarga dan bertanggungjawab menguruskan semua perkara pada satu-satu masa.

“Cuba bayangkan bagaimana mereka nak keluar cari pekerjaan jika ada tanggungan yang memerlukan perhatian khusus seperti suami terlantar, ibu yang sakit dan pada masa yang sama perlu jaga anak,” katanya.

Erma ditemui pada majlis pelancaran kempen Sebuah Kehidupan di Ampang Glasshouse, Selangor, hari ini.

Nak latih wanita muda

Majlis itu dirasmikan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin. Turut hadir menyerikan acara adalah pelakon, Nora Danish dan Fatiya Latiff.

Kata Erma kempen berkenaan adalah inisiatif pihaknya dan setakat ini Yayasan Seni Karya Prihatin belum menerima sebarang bantuan dana daripada mana-mana kementerian.

Sementara itu Zuraida berkata Erma - yang juga pengerusi yayasan tersebut - membuktikan perkembangan kerjaya daripada pelakon kepada usahawan dan seterusnya menjaga kebajikan masyarakat.

“Erma berjinak-jinak dalam program amal bagi menjaga kebajikan masyarakat.

"Saya pun apabila masuk arena politik ada niat yang sama iaitu demi berkhidmat untuk golongan wanita dan anak muda,” katanya.

Bagaimanapun, kata Zuraida, hasrat itu bukanlah untuk kedudukan dan kewangan.

“Ini cara saya melatih wanita muda kerana ia memberi kepuasan.

“Saya juga buka ruang dan peluang kepada golongan berkenaan berkembang dan memperkemaskan potensi mereka dalam apa jua arena yang mereka laksanakan,” katanya.

Kempen Sebuah Kehidupan memulakan penggambaran pada 5 April dan dijadualkan bersiaran esok.

Melalui pembelian kombo produk-produk usahawan tempatan yang tersenarai, RM10 daripada setiap jualan akan disalurkan pada Tabung Sebuah Kehidupan untuk diagihkan kepada lebih 100 individu yang dikenal pasti sebagai miskin tegar.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.