Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Kalau bukan sekarang bila lagi nak tazkirah berdepan, kata PU Amin
Diterbitkan:  Apr 19, 2021 5:06 PM
Dikemaskini: 1:56 PM

Pencetus Ummah (PU) Amin berkata sikap suka menghina golongan yang bergelumang dengan maksiat menjadi punca golongan itu semakin jauh dari agama.

Dia berkata demikian ketika menjelaskan imej tular yang memaparkan dia bersama dua personaliti media sosial berpakaian seksi.

Menganggap tidak salah untuk mendekati golongan itu, Amin menjelaskan tujuan kehadirannya pada majlis tersebut kerana melihat ada peluang untuk berdakwah secara berdepan dengan golongan yang ditentang sebelum ini.

Katanya, adalah wajar untuk berunding secara baik agar pihak terbabit dapat diajak meninggalkan kemungkaran.

“Viral gambar saya dengan dua individu dalam sebuah acara tertutup baru-baru ini. Ceritanya, saya dijemput untuk baca doa berbuka puasa dan tazkirah Ramadan sebelum berbuka puasa.

“Saya hadir dengan niat menyampaikan dakwah dan menyempurnakan tugas saya secara face to face (bersemuka) lalu membaca doa agar Allah menerima segala amal kebaikan kita dan mengampunkan dosa-dosa kita.

“Ini peluang untuk menyampaikan dakwah secara berhadapan. Saya tahu kesan fitnah sangat besar. Tapi kalau bukan waktu itu, bila lagi nak tazkirah secara berdepan dengan golongan yang saya lawan sebelum ini,” katanya.

Terdahulu, tular imej yang memaparkan dirinya bersama dua personaliti media sosial berpakaian seksi dalam sebuah majlis selepas ia dikongsi oleh seorang daripada wanita tersebut di dalam akaun media sosialnya.

Bercerita kejadian yang berlaku, kata Amin, selepas selesai menunaikan solat Maghrib, dia diminta oleh pihak penganjur untuk bergambar.

Menurutnya, dia menuruti permintaan tersebut sebagai menghormati penganjur.

“Selepas tu saya memang bergegas nak pulang sebab bertugas di masjid berdekatan. (Tapi) penganjur minta nak bergambar. Saya raikan, kerana mahu segera untuk pulang.

“Akhirnya penganjur viralkan gambar tersebut. Tak tahu tujuan apa. Saya pun dah minta agar padam gambar tersebut bagi menghormati bulan Ramadan. Dan kini teruk saya dihentam, difitnah dan dicaci maki hari ini. Allahu,” katanya.

Mengulas lanjut, Amin berkata, sejujurnya, dia sudah biasa mengambil gambar dengan golongan yang melakukan kemungkaran, cuma kali ini dia ditularkan.

“Saya biasa ambil gambar dengan banduan, penagih dadah, mat rempit, paderi, pelacur setelah selesai program dakwah di lapangan. Cuma kali ini viral dan dikongsikan secara ramai oleh semua pihak,” katanya.

Meskipun berdepan satu dugaan besar, Amin berkata, dia tetap memohon maaf sekiranya perbuatannya bergambar dengan kedua-dua wanita terbabit adalah satu perkara mengaibkan.

“Ramadan baru di fasa pertama, namun ujian berat bagi saya. Terima kasih pada yang menghina dan memanjangkan fitnah.

“Saya mohon maaf jika perbuatan saya mengambil gambar itu satu perkara yang memalukan dan mengaibkan,” katanya.

Lihat Komen
ADS