Malaysiakini
SENI & HIBURAN

Langgar SOP? Tiada sesiapa terkecuali termasuk anak sendiri, kata menteri

Hariz Mohd

Diterbitkan

Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob hari ini memberi jaminan tiada siapa - termasuk anaknya sendiri - akan terkecuali daripada dikenakan tindakan jika dibuktikan melanggar peraturan di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP).

Kenyataan itu dibuat ketika anak lelakinya, Gaddafi Ismail Sabri atau lebih dikenali sebagai Dafi terlibat dalam program realiti nyanyian yang menampilkan juri-juri dalam kalangan selebriti.

Program disiarkan stesen Astro itu mengundang kecaman daripada banyak pihak kerana didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ismail Sabri adalah salah seorang daripada anggota MKN.

“MKN sedang menyiasat (perkara tersebut). Tiada sesiapa yang kebal daripada undang-undang.

"Sesiapa sahaja yang melanggar SOP pasti akan diambil tindakan, walaupun anak saya,” katanya kepada Malaysiakini melalui mesej teks pagi ini.

Bina ikut spesifikasi

Program realiti itu - dikenali sebagai All Together Now Malaysia - merupakan program realiti terkini Astro. Ia dihujani kritikan selepas melibatkan seramai 50 juri yang berada di lokasi sama dan mereka tidak memakai pelitup muka ketika ia berlangsung.

Sesetengah pihak kemudian mempertikaikan larangan MKN ke atas SOP solat berjemaah, termasuk di masjid dengan mengehadkan kehadiran hanya kepada sebilangan kecil saja.

Astro kemudian menggantung program yang dihoskan oleh Sherry Al Haddad itu berikutan selepas disyaki mepelanggar SOP.

Sementara itu Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad, berkata nasib program itu akan diketahui selepas siasatan selesai.

"Rakaman All Together Now Malaysia dilakukan Mac lalu di Putrajaya sebelum pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0.

"Produksi menjalankan ujian calitan ke atas semua individu yang mengambil bahagian sebelum rakaman bermula.

"Hanya individu berstatus negatif sahaja dibenar meneruskan rakaman," katanya dalam kenyataan.

Raqim berkata set bertingkat yang menempatkan 50 juri selebriti itu dibina mengikut spesifikasi penjarakan fizikal iaitu dijarakkan 1.6 meter di antara seorang juri dengan juri lain.

Mereka juga dipisahkan dengan penghadang lutsinar.

Dia menambah bahawa proses rakaman program ini dipantau oleh pihak berwajib termasuk wakil agensi keselamatan.

Sejak episod pertama All Together Now Malaysia ditayangkan pada Ahad lalu, netizen mendakwa bahawa terdapat pelanggaran SOP dalam program ini memandangkan selebriti-selebriti tersebut tidak memakai topeng muka.

Sebelum ini dilaporkan bahawa Ketua Pengarah MKN, Mohd Rabin Basir telah mengarahkan siasatan terhadap program hiburan yang diterbitkan oleh syarikat penyiaran swasta itu kerana didakwa melanggar SOP.

Mohd Rabin dilaporkan berkata bahawa Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan mengambil tindakan sewajarnya jika mendapati terdapat pelanggaran SOP seperti yang didakwa.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.