Fitri Haris lapor polis, imej isteri disalah guna kumpulan antivaksin
Penyanyi Fitri Haris membuat laporan polis selepas satu kumpulan sembang di Telegram, AEFI Cases - Covid Vaccines didakwa menyebarkan maklumat tidak tepat dan fitnah terhadap kesihatan isterinya.
Katanya, dia tampil membuat laporan demi tanggungjawab bagi membetulkan salah faham disebarkan kumpulan yang didakwa anti vaksin terbabit.
Ini katanya, selepas kumpulan itu mengaitkan komplikasi yang dihadapi isterinya, Fazilah Omar ketika bersalin dengan kesan pengambilan vaksin.
“Saya dengan penuh tanggungjawab membuat laporan polis berkenaan isu satu group telegram AEFI Cases - Covid Vaccines menggunakan gambar-gambar dan cerita berkenaan kelahiran anakanda kami dan keadaan isteri saya seolah apa yang kami lalui akibat dari pengambilan vaksin.
“Laporan dibuat kerana mengambil kira maklumat palsu dan boleh mengelirukan umum mengenai vaksin dan kesannya kerana dari laporan kesihatan dan normaliti kelahiran bayi apa yang berlaku adalah perkara normal bagi pembedahan c-section,” katanya di Instagram.
Menurut bekas anggota UNIC itu, laporan turut dibuat demi tanggungjawab terhadap petugas barisan depan yang bertungkus lumus berjuang untuk memastikan negara bebas pandemik Covid-19.
“Beratus-ratus mesej dan komen tidak gemar dengan perkara ni serta kesian pada mereka,” katanya.
Terdahulu, imej isterinya tular selepas disebarkan oleh kumpulan Telegram terbabit yang mendakwa situasi komplikasi ketika bersalin berlaku disebabkan kesan daripada pengambilan vaksin.
Namun, Fitri mendedahkan, komplikasi dialami isterinya itu tiada kena mengena dengan isu vaksin seperti didakwa kumpulan tersebut.
Justeru, dia berharap kesilapan sama tidak diulangi sesiapa.
“Saya mohon agar pihak-pihak di luar sana jangan menyebarkan, menggunakan gambar atau berita individu lain sesuka hati tanpa mengetahui fakta dan informasi tepat.
“Ia boleh mengundang kegusaran umum,” katanya.

