Penyanyi terkenal Indonesia, Erdian Aji Prihartanto atau Anji hari ini didakwa secara rasmi atas tuduhan memiliki ganja dan berdepan kemungkinan dipenjara 12 tahun jika dia akhirnya disabitkan bersalah.

Perkara itu dinyatakan pegawai pendakwa Joseph Christian di mahkamah Jakarta Barat hari ini.

Dia mendakwa penyanyi yang popular dengan lagu Bidadari Tak Bersayap itu memiliki dan menyimpan dadah jenis ganja tanpa kebenaran Kementerian Kesihatan Indonesia.

Selain itu, Joseph juga mendakwa Anji, 42, menyalahgunakan bahan terlarang tersebut.

Menurut Joseph, berdasarkan ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas penyanyi itu pada 12 Jun lalu dia didapati positif dadah jenis THC (ganja).

“Hasil pemeriksaan sampel air kencing Anji ditemukan tanda-tanda tertuduh menggunakan dadah jenis THC,” katanya dipetik CNN Indonesia.

Kata Joseph, bukti ditemukan dalam kes terbabit adalah satu bungkusan plastik dengan perkataan tertera Choco Haze yang mengandungi tujuh gulung ganja dengan berat bersih 1.3392 gram, satu bungkusan plastik tertera perkataan Bananacush yang mengandungi satu gulung ganja dengan berat bersih 0.1547 gram, dan satu bungkusan plastik mengandungi ekstrak daun ganja dengan berat bersih 0.7944 gram.

Menurutnya, turut dirampas bukti lain seperti lapan bungkusan plastik berisi biji-biji daun ganja dengan berat 8,7100 gram, sebungkus plastik klip berisikan batang daun ganja dengan berat 12,5244 gram.

Selepas pendakwa raya membacakan pertuduhan tersebut, hakim Mahkamah Daerah Jakarat Barat, Yulisar bertanya kepada Anji sama ada penyanyi itu mengaku salah atau tidak.

Anji yang turut terkenal melalui lagu Berhenti Di Kamu itu mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

“Tidak yang arif,” jawabnya melalui sesi perbicaraan secara maya yang berlangsung dari sebuah pusat rawatan ketagihan dadah di Jakarta.

Sementara itu, ketika petugas media menemui Joseph diluar mahkamah, pegawai pendakwa itu berkata, jika disabitkan kesalahahan, Anji mungkin berdepan hukuman penjara maksimum 12 tahun.

“Tidak ada hukuman minimum, tetapi maksimum 12 tahun kerana dituduh atas dua tuduhan,” katanya.