Dikemas kini dengan laporan penuh.

Kes melibatkan usahawan kosmetik Nur Sajat mendapat perhatian akhbar Thailand yang berharap ia tidak mengeruhkan hubungan baik antara Malaysia dan negara Gajah Putih itu.

Membangkitkan prinsip kemanusiaan dalam kes itu, Bangkok Post dalam dalam rencana pengarangnya hari ini berkata perkara itu harus ditangani dengan baik antara kedua-dua negara.

“Sebagai sekutu rapat Malaysia dalam komuniti Asean, Thailand mungkin berasa perlu melayan permintaan jirannya di sebelah selatan. Ini tidak seharusnya berlaku.

“Pihak berkuasa Malaysia dan Thailand mungkin perlu berbincang secara tertutup, untuk menyelesaikan perbezaan secara mesra dan tidak membiarkan kes ini mengeruhkan hubungan mereka,” menurut akhbar itu.

Usahawan kosmetik itu dikehendaki kerajaan Malaysia atas pertuduhan syariah berpakaian seperti wanita. Dia pernah mencetuskan kontroversi sama ketika menunaikan umrah pada 2018 dengan bertelekung.

Usahawan itu berdepan hukuman penjara tiga tahun serta perlu membayar denda jika sabit kesalahan.

Dia bagaimanapun melarikan diri ke Thailand.

Polis Thailand minggu ini mengesahkan berhubung penangkapan Sajat oleh imigresen negara itu di sebuah kondominium mewah di Bangkok kerana tidak mempunyai pasport yang sah.

Dia dituduh di mahkamah, dibebaskan dengan jaminan dan dikehendaki melapor diri setiap 14 hari kepada pihak imigresen.

Pihak polis Malaysia dalam proses untuk mengekstradisi Sajat, yang turut diburu atas kesalahan menghalang tugas penjawat awam.

Sajat dilaporkan memohon status pelarian dari Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

BBC melaporkan permohonan itu telah diluluskan dan dia dikatakan mahu pergi ke Australia.

Bangkok Post berkata, kes Sajat bukan hanya melibatkan isu imigresen.

Sebaliknya, hujah akhbar itu, dia melarikan diri daripada gangguan dan ancaman yang terdapat di negaranya kerana enggan mengamalkan kehidupan mengikut gendernya yang asli.

Surat terbuka kepada Prayut

Menurut akhbar itu, Yayasan Cross Cultural yang berpusat di Bangkok turut menghantar surat terbuka kepada Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-o-cha memintanya tidak mengekstradisi Sajat.

Prayut Chan-o-cha 

Yayasan itu juga meminta supaya keselamatan Sajat terpelihara sementara dia menunggu suaka.

“Yayasan itu menegaskan berpakaian menyerupai wanita bukan masalah jenayah di Thailand, tidak ada kewajiban untuk mengekstradisi Sajat agar dia berdepan pertuduhan terbabit,” kata akhbar itu.