Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Rumah baru Ebby dijangka siap lagi 2 bulan
Diterbitkan:  Feb 12, 2022 8:56 PM
Dikemaskini: 12:56 PM

Kini boleh menghela nafas kelegaan, pelakon dan pelawak Ebby Yus bersyukur apabila dia menerima sumbangan berbentuk Rumah Mesra Rakyat (RMR) bernilai RM56,000 daripada kerajaan.

Sumbangan itu katanya, susulan rumahnya di Hulu Langat yang musnah dihanyutkan banjir pada Disember tahun lalu.

“Saya menerima sumbangan daripada kerajaan iaitu rumah mesra rakyat yang dibina dengan harga RM56,000.

“Pembinaan rumah baru saja didirikan empat hari lalu dan dijangka siap dalam tempoh dua bulan,” katanya.

Menurut Ebby atau nama sebenar Muhammad Yunus Abdul Rashid itu, semasa dia meninjau kerja di tapak tanah, pada masa sama, pihak mewakili kerajaan membuat lawatan dan melihat kawasan yang terkesan dengan bencana banjir.

Pada awal, jelasnya, dia memang bercadang untuk mendirikan semula rumah di tapak tanah seluas setengah ekar itu.

Cuma katanya, dia tidak memiliki modal hendak melakukannya.

“Jadi, hasrat tu terpendam begitu saja. Saya tak sangka dan rasa bersyukur ada yang bermurah hati,” katanya.

Pada 19 Disember lalu, Ebby berdepan ujian berat apabila rumah impian lenyap akibat banjir. Rumah itu hanya tinggal 10 peratus saja lagi untuk disiapkan.

Berikutan itu, dia terpaksa menanggung kerugian hampir RM200,000.

Ebby Yus, 56, berkata, pembinaan rumah bantuan berkenaan didirikan di tapak tanah lama miliknya.

“Pembinaan masih di tapak sama, cuma rumah itu dibuat ke dalam sedikit supaya berjauhan dari sungai. Risau kejadian yang sama berulang pula pada masa hadapan.

“Alhamdulillah, saya menerima pelbagai bantuan daripada peminat, rakan selebriti dan menteri cuma mereka enggan nama didedahkan,” katanya.

Sementara itu, mengulas kesihatan dirinya, Ebby, berkata -masalah paru-paru dihidapi, bertambah baik.

Namun, dia masih perlu menjalani rawatan susulan di hospital.

“Alhamdulillah, doktor sudah melakukan pemeriksaan dan memberitahu paru-paru saya sekarang tidak memerlukan rawatan hingga perlu ditebuk,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS