Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Awesome TV bayar lebih, nafi berhutang pada Diva AA
Diterbitkan:  Mar 10, 2022 7:42 PM
Dikemaskini: 11:48 AM

Stesen Awesome TV memandang serius tuduhan selebriti kontroversi, Azwan Ali berhubung tuntutan baki bayarannya yang belum diterima sebagai pengacara Mic On!

Kata Ketua Pegawai Eksekutif Awesome TV, Adam Ilyas, pembayaran penuh untuk 10 minggu sudah pun dibuat pada hari sama Azwan atau lebih dikenali sebagai Diva AA itu digugurkan pada 8 Mac lalu.

“Merujuk pada isu Azwan Ali yang menuntut baki bayaran untuk program Mic On! pembayaran penuh untuk 10 minggu telah pun dibuat pada hari sama dia digugurkan.

“Pembayaran itu tetap dibuat walaupun Azwan Ali cuma melunaskan komitmen sebagai hos untuk tempoh enam minggu saja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Adam memaklumkan pihaknya mengambil tindakan keras apabila berlaku sebarang pelanggaran integriti.

Katanya, pihak Awesome TV tidak akan sesekali berkompromi dengan sebarang hal-hal berkaitan dengan disiplin dan standard etika kerja bagi mana-mana pihak sama ada dalam kalangan tenaga produksi sendiri mahupun bakat yang terlibat dengan program-program terbitan mereka.

Diva AA pula dalam kenyataan balas melalui Instagram keesokan harinya meminta dirinya yang juga anak yatim piatu tidak dianiaya.

Malah menurut pengacara itu, sekiranya tiada baki bayaran dilunaskan, dia bercadang untuk melaporkan isu terbabit kepada pihak polis.

Susulan itu, Adam berkata, pihak Awesome TV beranggapan isu tututan bayaran sudah pun selesai dan tidak ingin memanjangkan hal berkenaan lagi.

“Fokus kami utama kami sekarang adalah adalah untuk menghabiskan program Mic On! yang masih berbaki empat minggu lagi,” katanya.

Pada masa sama, menurutnya, pihak produksi merancang untuk membawa masuk khidmat hos jemputan untuk digandingkan bersama hos sedia ada, Issey Fazlisham untuk program yang bersiaran setiap Jumaat, melalui saluran Awesome TV di platform Astro 123 dan MyTV 112 itu.

“Ia bagi memeriahkan lagi konsert mingguan Mic On! Nantikan pengumuman rasmi dalam jangka masa terdekat ini,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS