Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Penting mahir bahasa Melayu untuk bertahan lama, kata Lizzy

Bukan mudah untuk bertahan dalam industri hiburan yang didominasi orang Melayu, dan ia boleh menjadi lebih sukar apabila seseorang itu tidak fasih berbahasa Melayu, kata Elizabeth Tan.

Justeru, pelakon dan penyanyi itu menggalakkan rakan artis dari bangsa apa pun agar menguasai bahasa Melayu dengan baik sebagai 'modal' untuk mereka bertahan dalam industri.

Katanya hal itu diingatkan selepas melalui pelbagai pengalaman selama lapan tahun aktif dalam industri seni tanah air.

“Saya sendiri tak percaya sebab biasanya pelakon bukan Melayu takkan bertahan lama dalam industri ni.

“Saya tak ada tip untuk dikongsikan, cuma saya boleh nasihatkan supaya rakan sekerja yang bukan Melayu, belajarlah menguasai bahasa Melayu dengan sebaik-baiknya,” kata penyanyi Semua Sudah itu.

Pun begitu, Elizabeth - atau lebih mesra disapa Lizzy - itu tidak menolak bahawa selain menguasai bahasa Melayu, seseorang selebriti juga masih bergantung kepada nasib untuk mengecap populariti.

Mengenai bahasa Melayu, Elizabeth berkata, dia sendiri belum benar-benar menguasainya malah ada ketika dia tersalah sebut sesuatu perkataan, atau masih pelat melafazkannya.

Namun katanya dia berusaha sedaya upaya untuk memberikan persembahan yang terbaik.

“Kita (yang bukan Melayu) kena berusaha, itu sangat penting. Lain-lain tu ikut tuah dan nasib anda,” kongsinya.

Boleh jadi lebih baik

Elizabeth berkata demikian pada majlis pelancaran filem terbaru lakonannya, Abang Long Fadil 3, yang diadakan di Petaling Jaya semalam.

Naskhah arahan Syafiq Yusof itu merupakan spin off watak Abang Long Fadil dalam filem KL Gangster.

Abang Long Fadil 3 mengekalkan Zizan Razak selaku teraju utama yang memegang watak Fadil. Karya itu dijadual menjengah pawagam di seluruh tanah air pada 8 Sept ini.

Selain Elizabeth dan Zizan, pelakon lain yang turut menjayakan filem berkenaan termasuklah Johan Raja Lawak, Maya Karin, AC Mizal, Ozlynn Waty, Tania Hudson dan Shuib Sepahtu.

Zizan Razak

Mengulas pembabitannya dalam filem berkenaan, Elizabeth yang juga dikenali sebagai penyanyi Police Entry berkata, dia bersyukur apabila Skop Productions Sdn Bhd memberikan kepercayaan untuk dia memegang watak Alice.

Walaupun baru berjinak-jinak dalam dunia lakonan pada ketika itu, katanya, Syafiq tetap melihat potensi yang ada padanya sebagai pelakon.

“Saya tengok balik lakonan saya macam kayu, sebab penggambaran Abang Long Fadil 3 ialah pada 2019, saya baru lagi dalam bidang lakonan.

“Banyak yang saya perlu perbaharui. Mak saya pun pada awal tak percaya yang saya boleh berlakon.

“Namun, sekarang, saya fikir mungkin saya boleh lakukan lebih baik,” jelasnya.

Lihat Komen
ADS