Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Alicia Amin tampil berani protes isu bayaran model
Diterbitkan:  Aug 19, 2022 6:16 PM
Dikemaskini: 10:16 AM

Alicia Amin tampil berani membuat protes berhubung isu bayaran model pada Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2022 (KLFW) yang berlangsung di Pavillion, ibu kota semalam.

Pelakon, pengacara dan model sensasi itu memuat naik imej dia memegang plakad membuat bantahan terhadap model yang sudah melunaskan tanggungjawab di pentas peragaan tetapi upah mereka tidak dibayar.

“Semua model tahun ni perlu dibayar dalam sehari. Kepada mereka yang masih menanti bayaran daripada Andrew untuk tahun-tahun sebelumnya, sila datang berjumpa saya,” tulisnya pada plakad berkenaan.

Untuk rekod, Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2022 berlangsung sejak 17 Ogos hingga 21 Ogos ini.

Kenyataan Alicia, 27, itu merujuk kepada penganjur KLFW iaitu Andrew Tan yang mengakui memang terdapat kelewatan dalam isu bayaran.

Menurutnya sebagai seorang yang berkecimpung dalam arena peragaan, dia sendiri sudah penat dengan layanan buruk diberikan penganjur.

Bagaimanapun, tindakan Alicia membuat protes secara seorang diri itu kemudian dihalang sebelum dia diarahkan oleh pengawal keselamatan untuk meninggalkan lokasi acara.

“Sudah tentu kena halau, tapi kita usaha apa yang termampu,” katanya di Instagram Story.

Mengulas kehadirannya seorang diri di situ, pemilik nama penuh Raja Alicia Raja Amin itu berkata, ia disebabkan dia tidak mahu tindakannya memusnahkan karier orang lain.

Baginya, tujuan utama lebih penting adalah menunjukkan betapa sukarnya untuk meneruskan karier sebagai seorang model terutama untuk mereka yang bekerja sendiri tanpa mana-mana pengurusan.

“Saya boleh membuat protes tentang ketirisan bayaran dan pada masa sama menyokong pereka fesyen yang telah membina karier saya. Ia adalah dua perkara berbeza.

“Sejujurnya, saya tak dapat sebarang keuntungan.

“Saya lakukan ni kerana teringat betapa menakutkan dan sukarnya sebagai seorang model mentah yang cuba menyeimbangkan antara hak dan peluang untuk ditempah. Ia tempat yang sukar,” kongsinya yang sudah 12 tahun bergelar model.

Mengakhiri entri itu dalam posting berbeza, Alicia turut menggesa model yang tidak mendapat bayaran dalam tempoh 24 jam selepas selesai bertugas untuk memberitahunya

Lihat Komen
ADS