Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Yusof Haslam menempelak tindakan Lembaga Penapis Filem (LPF) yang mengenakan pelbagai batasan ke atas filem terbitan terbarunya, Harum Malam.

Bimbang langkah itu akan menjejaskan kutipan filem tersebut, Yusof berkata dia berharap LPF mengamalkan sikap lebih terbuka dan tidak membodohkan penonton.

“Saya betul-betul kesal kerana begitu banyak dialog 'dipadam' dan ada adegan dikaburkan. Saya harap LPF lebih terbuka... kenapa kita perlu bodohkan penonton?

“Saya harap pegawai yang duduk di kerusi LPF itu tolong buka minda, umum sedia maklum bahawa dalam Netflix ada tayangkan adegan seks yang lebih teruk. Kenapa kita kena sempitkan fikiran kita?" katanya.

Dia yang menjadi penerbit eksekutif Harum Malam berharap pihak yang ada di LPF mengambil kira kesukaran dialami pihak produksi, namun pasrah dengan klasifikasi P13 untuk filem tersebut.

Hal itu kerana, katanya, jika Harum Malam diklasifikasikan sebagai P18, ia dibimbangi akan lebih mengganggu jualan tiket.

Terdahulu Yusof yang juga terkenal sebagai pelakon dan pengarah itu menyatakan rasa kecewa dengan tindakan LPF 'menapis' 14 adegan dalam Harum Malam, termasuk beberapa dialognya yang diredam (muted).

Menurut Yusof, 68, sekiranya LPF tidak mengkaji semula syarat tapisan sekarang, pasti industri perfileman negara tidak dapat berdaya maju.

Justeru, katanya, sudah sampai masa untuk LPF meminda garis panduan penapisan yang kini dilihat semakin tidak relevan dengan situasi semasa.

“Kita perlu ada perubahan, kerana kalau tak industri kita akan stagnant (beku) sebab ini tak boleh, itu tak boleh. Ada filem Tamil diklasifikasi P13, tapi saya tengok wajar diberi P18.

“Jadi, jangan berfikiran lama (lapuk), kita bukan zaman 1990-an lagi dah, tapi dah masuk dunia digital,” katanya ketika ditemui pada majlis pratonton Harum Malam di Petaling Jaya malam tadi.

Bukan letak saja-saja

LPF pada awalnya mensyaratkan sebanyak 17 potongan dibuat ke atas filem seram yang mendapat arahan Din Said itu. Namun, selepas rayuan daripada penerbit, ia kemudian dibenarkan untuk had tontonan dengan klasifikasi P13.

Berbanding terus dipotong, LPF sebaliknya mensyaratkan beberapa adegan dikabur dan dialog diredamkan.

Harum Malam berkisahkan kehidupan seorang remaja, Iqbal (lakonan Idan Aedan) yang mempunyai kebolehan melihat makhluk ghaib.

Namun, dia bergelut dengan keupayaan luar biasa yang dimiliki walaupun mampu mengubati pesakit. Bakat yang ada pada Iqbal mengakibatkan dia sukar untuk membezakan antara realiti dan bukan.

Selain Idan, naskhah yang dijadual menjengah pawagam pada 9 Feb ini turut dijayakan Bront Palarae, Remy Ishak, Nadiya Nisaa, Faizal Hussein, Arnie Shasha dan Angelica Petra.

Sementara itu, Dain berkata, pihak produksinya mengambil sikap bertanggungjawab dengan memastikan aspek LPF dipatuhi dalam kandungan dihasilkan.

Menurutnya, semua nilai kejutan dipaparkan sama ada melalui dialog atau adegan adalah berkaitan dengan penceritaan, bukannya sengaja diwujudkan tanpa sebarang maksud.

“Saya bukan nak cakap keras. Kami bertanggungjawab, bukan saja-saja siarkan nilai kejutan.

“Semua dialog dan adegan berkaitan termasuk dalam sub teks. Bukan saja-saja nak letak di situ tapi untuk menghiburkan penonton dengan lebih berkesan,” katanya.

Lihat Komen
ADS