Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Peminat hampa tunggu Rod Stewart 3 dekad
Diterbitkan:  Feb 8, 2024 8:14 PM
Dikemaskini: 12:14 PM

Penyanyi legenda, Rod Stewart terpaksa membatalkan konsert jelajah Rod Stewart Live in Concert, One Last Time yang sepatutnya berlangsung di Kuala Lumpur, 4 Mac ini.

Pihak penganjur Live Nation Malaysia melalui kenyataan berkata, persembahan yang dijadual berlangsung di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil itu dibatalkan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Menurut penganjur, mereka yang membeli tiket dari platform yang sah, GoLive Asia, akan menerima bayaran balik melalui kaedah pembayaran asal.

“Rakan kongsi penjual tiket kami, GoLive Asia akan menghubungi anda melalui emel berhubung bayaran balik dalam tempoh lima hari waktu bekerja,” kata kenyataan tersebut dipetik The Star.

Melalui semakan Malaysiakini pada ruangan membeli tiket pula, Live Nation menyatakan jualan tiket konsert itu dibatalkan.

Notis pembatalan itu ternyata mengecewakan peminat yang sudah menunggu hampir tiga dekad untuk menyaksikan Stewart mengadakan persembahannya di Malaysia.

Seorang pengguna Facebook berkata, keputusan itu amat mengecewakannya kerana dia tidak sabar untuk menyaksikan satu-satunya persembahan ikon global seperti Stewart.

“Kenapa? Ini amat mengecewakan. Saya pasti anda mempunyai alasan tersendiri. Tapi kami sudah menunggu hampir tiga dekad untuk menonton konsert anda, tolong pertimbangkan keputusan itu semula,” katanya.

Sebelum ini, penyanyi berusia 79 tahun itu yang dijadual mengadakan konsert di Stadium Merdeka pada 31 Ogos 1995 menunda persembahan itu sebagai menghormati sambutan Hari Kemerdekaan.

Walaupun laporan awal menunjukkan konsert itu sepatutnya dijadual semula pada tahun sama, tarikh baru tidak pernah diumumkan malah Stewart tidak pernah kembali ke Kuala Lumpur selepas itu.

Dengan jualan lebih 120 juta rekod di seluruh dunia, Stewart boleh dianggap antara artis terlaris sepanjang zaman.

Penyanyi I Don’t Want To Talk About It itu telah mengeluarkan 32 album, dengan yang terakhir ialah The Tears Of Hercules yang diterbitkan pada 2021.

Lihat Komen
ADS