Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Mia Sara Shauki kutip pengalaman berharga di Vietnam

Pengalaman menghadiri Festival Filem Antarabangsa Ho Chi Minh (HIFF) di Vietnam pada 7 dan 8 April lalu mengajar pelakon, Mia Sara Shauki, untuk memahami bagaimana orang luar negara menghargai sesebuah karya.

Justeru katanya, dia banyak mengutip pengalaman berharga yang tidak disangka-sangka ketika menghadiri tayangan khas filem-filem di situ.

“Pergi ke sana membuka mata saya tentang macam mana orang luar negara hargai karya seni negara mereka.

“Selain itu, mereka juga amat menghargai seni dan karya orang dari luar negara,” katanya.

Meskipun bukan bergelar selebriti terkenal, Mia Sara berkata dia juga tidak menjangka dirinya tetap menerima layanan mesra malah tidak berbelah bahagi apabila di sana.

“Siapalah saya. Sudah pasti mereka mahu angkat bakat tempatan, tapi apabila berada di sana mereka tetap buatkan setiap yang berada dalam bilik itu berasa penting.

“Kami berasa sangat penting kerana mereka sayangi bakat pada pembikin filem, kru, penulis skrip mahupun kru-kru belakang tabir,” katanya yang ditemui pada majlis pratonton filem terbaru lakonannya, Geng Kubur, di sebuah kompleks beli-belah di Petaling Jaya baru-baru ini.

Mia Sara berada di Ho Chi Minh selama empat hari bagi memenuhi undangan penganjur HIFF sempena tayangan khas Geng Kubur bersama pengarah filem berkenaan, Gavin Yap.

Seorang lagi pelakon yang juga menjayakan filem berkenaan, Firdaus Sufian turut serta.

Geng Kubur berkisahkan Firhan, Fang Liang, Prem dan Melati bersahabat baik serta sering menjadikan kubur bukan Muslim sebagai tempat melepak.

Firhan yang kehilangan ibu akibat kemalangan 10 tahun lalu masih tidak dapat melupakan ibunya dan dia sering bergaduh apabila emosinya terganggu.

Dia berasakan mimpinya adalah realiti dan percaya ibunya masih hidup dan mengajak kawan-kawannya pergi ke tempat kejadian untuk mencarinya.

Geng Kubur menemui penonton di pawagam tanah air bermula hari ini.

Mia Sara berkata dia teruja apabila berkesempatan menemu bual beberapa selebriti terkenal dan berpeluang beramah mesra dengan mereka semasa di Ho Chi Minh.

“Saya berasa sedikit terkilan sebab tak dapat bergambar, tapi gembira kerana sempat memperkenalkan diri dan mereka menyedari saya antara pelakon yang filemnya ditayangkan di acara itu.

“Antaranya saya bertemu pelakon utama filem Parasite yang menang anugerah Filem Terbaik Oscar iaitu Kang Ho Song dan pengarah Anne Fontaine,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS