Nur Fazura mendakwa isu kecurangan menjadi punca rumah tangganya dengan Fattah Amin gagal bertahan dengan lebih lama.
Bukan setakat itu, pelakon terbabit mendakwa kedua-dua mereka sudah tiada persefahaman, selain Fattah "culas" memberikan nafkah kepada dia dan anak mereka, Nur Fatima Aisya.
“Bertahun-tahun saya hidup dalam sengsara. Saya reda dengan perceraian ini dah dua tahun saya hidup dalam keadaan tersebut.
“Dia telah abaikan nafkah saya dan Fatima. Kami juga tiada persefahaman dan sudah lama saya tidak bahagia.
“Dia juga berlaku curang terhadap saya dan itu yang paling saya tidak boleh terima. Saya ada bukti dia curang,” katanya.
Nur Fazura, 41, turut memberitahu sepanjang berdepan konflik tersebut bersama Fattah, emosi dan mentalnya terjejas.
“Namun, sebelum ini saya ambil pendekatan untuk kunci mulut kerana memikirkan tentang anak. Emosi dan mental saya sangat terganggu, saya tertekan. Saya sudah lama bertahan dalam situasi ini (tidak bahagia),” katanya yang dipetik Kosmo! Online.
Namun, pelakon filem Pisau Cukur itu berkata, dia bukan memohon perceraian ekoran Fattah, 34, tidak sekufu dengannya.
Kenapa tiba-tiba
Bahkan, menurutnya lagi, dia sudah melakukan banyak pengorbanan termasuk membelikan bekas suaminya itu kenderaan mewah.
“Saya sudah berkorban banyak untuk Fattah, saya sediakan tempat tinggal, makan minum, hadiahkan kereta Range Rover untuk keselesaan dia.
“Kenderaan itu dia bawa naik wanita yang haram baginya. Dakwaan saya tidak sekufu dengan Fattah tidak benar sama sekali. Kalau tidak sekufu, dari awal saya tidak berkahwin dengannya.
“Namun, pengorbanan saya diambil kesempatan, itu yang membuat saya sangat kecewa. Kesal kerana telah berkorban banyak,” katanya.

Sementara itu, Fattah atau nama penuhnya Abdul Fattah Mohd Amin, menafikan segala dakwaan dilemparkan Fazura dan menyifatkan tuduhan itu adalah tidak benar sama sekali.
Pelakon drama Playboy Itu Suami Aku itu berkata, dia tidak berlaku curang dan sebelum ini sudah ada perbincangan untuk menutup aib masing-masing.
“Saya nafikan benda itu, peguam dia (Fazura) sudah beritahu sebelum ini tiada kes curang, kenapa tiba-tiba ada kes curang?
“Itu semua saya nafikan. Saya pun ada bukti, itu tohmahan untuk mencemarkan nama baik saya sedangkan kita dah ada perjanjian sebelum saya lafaz tadi, sepatutnya menjaga aib masing-masing,” katanya.
Fattah juga menegaskan punca perceraian mereka disebabkan tiada persefahaman selain memaklumkan tidak pernah mengabaikan nafkah terhadap keluarganya.
“Saya terkejut dan sedih apabila ada kenyataan seperti itu daripada dia. Tiada persefahaman - itu saja.
“Mengenai tidak berikan nafkah, saya ada bukti kenyataan bank yang menunjukkan transaksi semua ke keluarga.
“Namun, mungkin itu tidak cukup untuk dia,” katanya.
