Penyanyi Marsha Milan Londoh meluahkan rasa syukur apabila namanya terseranai dalam kalangan penerima Anugerah Darjah Kinabalu (ADK) yang dikurniakan oleh Istana Sabah sempena hari jadi rasmi Yang DiPertua Negeri Sabah (TYT) Juhar Mahiruddin yang ke-71.

Marsha berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung posting disiarkan oleh Instagram syarikat rakamannya iaitu alternate.my_ berhubung penganugerahan tersebut.

Penyanyi itu menjadi antara 274 individu yang tersenarai menerima penerima ADK edisi kali ini.

“Alhamdulillah saya bersyukur apabila dimaklumkan akan menjadi penerima anugerah ADK.

“Namun, sejujurnya saya tidak berani hendak beri sebarang kenyataan kerana masih belum menerima anugerah tersebut secara rasmi,” katanya.

Namun, Marsha mengakui anugerah tersebut menjadi pembakar semangat buatnya untuk terus memperjuangkan budaya dan muzik dari negeri Sabah.

“Selepas 20 tahun dalam industri saya tidak pernah jemu untuk mempromosi budaya dan muzik negeri asal kelahiran saya,” katanya ketika ditemui pada sidang media program realiti A Million Voice (AMV) di Kuala Lumpur semalam.

Marsha pernah tampil menerusi lagu Sumandak Sabah bersama Velvet Aduk.

Penyanyi Hening Rindu itu berkata, segala usaha dicurahkan untuk mengangkat martabat Sabah bukan bertujuan untuk mengejar sebarang pengiktirafan.

“Jika tidak dapat pingat pun, saya tetap akan berusaha untuk mempromosi budaya negeri saya.

“Saya akan gunakan platform yang ada untuk kongsi karya dari Sabah ke Semenanjung,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Marsha bakal tampil sebagai juri dalam program AMV bersama vokalis Wings, Awie dan penyanyi Hattan.

Program itu merupakan rancangan televisyen mencari bakat baru untuk menjadi ikon muzik.

Pencarian bakat untuk sesi pertama bermula hujung Oktober ini secara dalam talian dengan cara menghantar video persembahan mereka melalui media sosial.