Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

TRAVELOG Tepat jam 4 pagi, saya terbangun bila terdengar bunyi loceng yang saya setkan dijam tangan. Tangan saya teraba-raba mencari lampu picit yang saya letakkan tak jauh dari tempat saya tidur.

Dengan bantuan lampu picit, saya keluar perlahan-lahan daripada bilik menuju ke tandas.

Keadaan di luar bilik amat gelap kerana seawal itu mereka belum lagi memasang “generator”, jadi memang tidak ada sedikit pun cahaya lampu.

Saya menggosok gigi di sinki luar tandas dalam keadaan gelap. Ditambah lagi dengan sejuknya suhu memang betul-betul membuat saya menggigil.

Dengan terketar-ketar sambil menyuluh lantai simen yang tidak rata, saya berjalan perlahan-lahan menuju semula ke bilik.

Saya bersiap cepat di dalam gelap, mungkin tidak sampai 5 minit. Setelah menyuluh keseluruhan bilik dan memastikan tidak ada barang yang tertinggal, saya keluar daripada bilik dan berjalan menuruni tangga dengan berhati-hati.

Terasa beg galas saya agak berat, mungkin kerana tambahan berat daripada buah pisang yang saya beli semalamnya di bazar sebagai bekalan makanan dalam perjalanan nanti.

Di tingkat bawah yang biasanya sibuk dan penuh dengan orang, terasa sungguh sepi dan lengang. Gelap, sunyi dan sejuk.

Dalam kegelapan itu saya berjalan menuju ke pintu keluar. Pintu berkunci dan dimangga dari dalam. Oh, saya perlu mencari pekerja chaikhanna untuk tolong membuka pintu.

Saya masuk semula dan menjenguk-jenguk ke kawasan belakang, ke kawasan dapur, tiada juga tanda orang di situ. Mungkin semuanya masih tidur.

Tetapi yang saya hairan, malam sebelumnya pekerja chaikhanna yang menerima bayaran bil penginapan saya di situ patut tahu saya akan keluar awal pagi ini.

Sedang saya terjenguk-jenguk dalam gelap, ada seorang pekerja chaikhanna datang menyapa saya. Lega rasanya. Saya memberi isyarat hendak keluar dan menunjukkan ke arah pintu. Dia segera pergi mendapatkan kunci.

Setelah mengucapkan terima kasih saya berjalan melangkah keluar daripada chaikhanna. Sungguh, di luar keadaannya amat-amat sejuk. Saya perlu berjalan kira-kira 5 minit untuk sampai ke tempat bas.

Muka dan tangan saya yang terdedah dengan udara sejuk mula terasa perit. Saya tidak pernah berasa begitu sakit kerana cuaca sejuk walaupun boleh dikatakan sudah biasa dengan suhu di kawasan pergunungan.

Kesejukan awal pagi di Bamiyan memang memeritkan. Sesuatu yang tidak mungkin saya boleh lupakan.

Dalam gelap, tangan kanan saya memegang lampu picit menyuluh jalan dan tangan kiri pula erat memeluk beg. Saya cuba berjalan secepat mungkin untuk sampai ke tempat orang berkumpul menaiki bas.

Bila ternampak bas dari jauh, sungguh lega rasanya. Saya terasa seperti hendak berlari sahaja ke sana. Ada beberapa orang lelaki yang berserban terketar-ketar sedang sibuk memunggah barang ke dalam perut bas. Saya juga cepat-cepat memasukkan beg galas ke dalam ruang bagasi.

Setelah selesai saya masuk ke dalam bas. Lega. Akhirnya saya sudah terselamat daripada kesejukan pagi di Bamiyan yang menyeksakan.

Tempat duduk saya bernombor '1'. Barisan paling hadapan. Setelah duduk, saya lihat jari-jari saya. Mungkin itu rasanya jika hampir terkena frostbite?

Memang sakit dan perit. Waktu itu juga saya rasakan selsema saya semakin parah. Tekak semakin sakit dan suara saya telah hilang sama sekali. Memang teruk rasanya.

Saya duduk di dalam bas sementara menunggu penumpang-penumpang bas yang lain sampai.

Setiap orang yang masuk ke dalam bas saya perhatikan satu-persatu. Masing-masing berserban dan berpakaian agak lusuh. Riak muka mereka yang kesejukan dan seperti kurang tidur, semuanya hampir serupa.

[Bersambung dalam bahagian seterusnya]


Siri travelog ini merupakan sedutan daripada buku ‘Travelog ET - Kembara Afghanistan’ yang dikarang dan diterbitkan oleh Siti Noridah Abd Rahaman.

Ia merakam pengalamannya menelusuri pedalaman India, Pakistan, Afghanistan, Emiriah Arab, Iran dan Turki selama enam bulan.

Anak kelahiran Johor berusia 32 tahun ini berharap pengembaraannya dapat memberi inspirasi kepada anak muda lain untuk berkelana dan menimba pengalaman di luar negara.

Pesanan boleh dibuat melalui laman Facebook: ‘Travelog ET’

Lihat Komen
ADS