Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Apa salahnya main ski di tengah padang pasir?
Diterbitkan:  Dec 21, 2015 11:12 AM
Dikemaskini: 9:30 AM

DESTINASI Seorang jurugambar, Reiner Riedler merakam trend destinasi buatan yang muncul menjadi industri baru dalam bidang pelancongan.

Siri gambar di galeri laman web beliau antara lain merakam pantai buatan dalam sebuah resort di Jerman, replika Mount Rushmore di China dan resort ski dalam kompleks tertutup di Dubai.

Menurut laporan laman teknologi Wired , Riedler berkata destinasi ini mungkin dilihat sama dengan taman tema seperti Disney Land atau Disney World namun jurugambar ini melihat kesannya lebih dari itu.

Beliau memberi contoh, cenuram bersalji yang dibina untuk bermain ski dalam satu dewan tertutup di Dubai. Riedler berkata, perkara ini membangkitkan isu tanggungjawab kepada alam sekitar.

“Pelancongan bermaksud penggunaan – mengguna budaya, alam. Dunia buatan ini dibina dengan tekanan teknologi yang tinggi (ke atas alam sekitar).

“Saya tidak tahu mana yang lebih baik: Pergi ke banjaran Alps, dengan mengetahui bahawa industri ski memusnahkan alam di pergunungan, atau bermain di dalam dewan buatan di Dubai, di padang pasir,” katanya.

Riedler berkata beliau pada awalnya tertarik dengan sikap para pengunjung yang meluangkan masa dan wang di destinasi seperti ini.

"(Mereka) pergi ke pantai buatan ini untuk menikmati perasaan bercuti. Saya tertanya-tanya mengapa mereka senang diperalat, seolah-olah pasir, minuman, muzik dan tab air itu adalah resipi kebahagian," katanya kepada Wired .

Selepas membuat kajian lanjut, Riedler seterusnya mendapati trend berkenaan disokong oleh rangkaian perniagaan global.

Riedler mengembara dari negara asalnya di Austria ke Jerman, Amerika Syarikat, China, Jepun dan Emiriah Arab Bersatu untuk merakam dokumentari tersebut.

Riedler menumpukan pada aspek tarikan emosi yang memacu pertumbuhan percutian buatan ini.

"Tiada bahaya. Tiada buaya, tiada malaria. Anda boleh mengikuti percutian yang selamat untuk sehari dua.

"Risikonya? (Percutian) itu hanya menarik untuk sehari dua, tetapi akhirnya orang akan tahu bahawa mereka tiada kisah yang boleh diceritakan apabila pulang nanti," kata Riedler seperti dikutip Wired.

Siri gambarnya dimuatkan dalam buku yang dijual melalui laman web beliau.

Lihat Komen
ADS