Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat

Saya merujuk isu kecurian dua buah enjin jet pejuang Tentara Udara Diraja Malaysia (TUDM). Kecurian enjin tersebut didakwa berlaku sekitar tahun 2007.

Selain daripada enjin, Kementerian Pertahanan juga dilaporkan menyatakan terdapat peralatan-peralatan lain yang mungkin turut lesap.

Ketika ini, kementerian berkenaan dan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan untuk melakukan siasatan penuh terhadap kes tersebut dan akan mengambil tindakan undang-undang sewajarnya kepada mereka yang terbabit, yang turut dilabel sebagai "pengkhianat" negara kita.

Sudah jelas, kecurian harta pertahanan negara, tanpa mengira nilainya, suatu tindakan pengkhianatan negara. Harta pasukan tentera dibeli untuk mempertahankan kedaulatan negara dan dibiayai dengan wang rakyat.

Dalam perkara ini, adalah membimbangkan kenapa kehilangan dan kecurian harta pertahanan negara yang sebegitu besar tidak dibangkitkan dalam Laporan Tahunan Ketua Audit Negara bagi tahun 2007 atau 2008?

Kejadian ini berlaku pada 2007 dan Kementerian Pertahanan menfailkan laporan polis pada tahun yang sama.

Sudah pasti perkembangan itu sewajarnya mencetuskan kewaspadaan kepada proses audit harta kementerian tersebut.

Bawah Seksyen 6 Akta Audit 1957, pengauditan Ketua Audit Negara termasuklah menentukan sama ada perhatian yang sewajarnya telah diambil untuk memberikan penjelasan mengenai - dan untuk memastikan - penggunaan, pengawalan, penyenggaraan dan pelupusan yang sepatutnya segala harta awam pihak bawah auditannya.

Seksyen 9(5) akta tersebut memperuntukkan bahawa Ketua Audit Negara boleh - dalam apa-apa laporan yang dikemukakan mengikut Perkara 107(1) Perlembagan Persekutuan (lebih dikenali sebagai Laporan Tahunan Ketua Audit Negara ) - membuat syor dan boleh secara umum memberikan ulasan tentang semua perkara yang berhubungan dengan akaun, wang dan harta awam.

Berhubung kehilangan harta pertahanan negara tersebut, Ketua Audit Negara seharusnya membangkitkan penyelewengan itu dalam laporan tahunannya kerana ia membabitkan kepentingan awam.

Oleh itu, Ketua Audit Negara perlu memberi penjelasan kenapa penyelewengan tersebut tidak dibangkitkan dalam laporan tahunannya sehingga kini?

Kerajaan juga harus mengambil tindakan untuk memastikan Ketua Audit Negara akan membangkitkan dalam laporan tahunannya semua penyelewengan yang membabitkan harta kerajaan pada masa hadapan.

Tan Keng Liang ketua Pemuda Gerakan Kedah

ADS