1Malaysia dalam 'Jalinan persaudaraan Nanyang'
Pada 14 Jun 2010, jam 10 malam, saya menonton episod pertama drama siri televisyen berbahasa Cina keluaran tempatan yang bertajuk 'Jalinan persaudaraan di Nanyang'.
Pada pendapat saya siri drama tv ini bukan sekadar tayangan atau hiburan tetapi drama ini memaparkan kisah yang benar-benar berlaku dalam masyarakat kita.
Saya juga mendapati drama ini sangat menarik dan penuh maksud dan pengajaran. Ini boleh dilihat dalam episod pertamanya yang menceritakan mengenai sekumpulan pendatang yang menaiki kapal daripada China. Kapal yang menuju ke Nanyang (nama lama bagi Malaysia dan Singapura) itu dilanda ribut lalu karam di lautan.
Kumpulan pendatang itu bagaimanapun diselamatkan sekumpulan nelayan Melayu di Mersing, Johor. Antara yang terlibat dalam usaha menyelamat itu termasuk Shamsudin, seorang nelayan tempatan.
Beliau berjaya menyelamatkan seorang bayi yatim piatu yang baru dilahirkan. Shamsudin dan keluarganya kemudian membesarkan anak kecil itu sehinggalah dia dapat hidup berdikari.
Sewaktu saya kecil dahulu, saya juga pernah mendengar orang-orang tua menceritakan bagaimana mereka diselamatkan dan dibantu oleh orang tempatan semasa mereka pertama kali menjejakkan kaki ke 'Nanyang.'
Secara tidak langsung, kisah yang disiarkan itu mengembalikan semula ingatan lama saya terhadap puisi Melayu yang saya pelajari sewaktu kecil dan cara hidup secara harmoni dengan rakan-rakan Melayu, walaupun saya tidak memahami mereka.
Inilah juga yang menjadikan cerita ini sebuah siri drama yang sangat saya minati kerana ia membawa satu perutusan yang penting iaitu konsep 1Malaysia yang sememangnya sudah lama wujud di tanah air kita.
Selain itu, drama siri TV 'Jalinan persaudaraan di Nanyang' adalah program yang tinggi nilainya. Selain terhibur dengan lakonan artis tempatan, penonton juga dapat menyaksikan pemandangan indah di tanah air serta kita dapat menghargai konsep 1Malaysia.
Penulis adalah ahli jawatankuasa MCA Kepong

