Laporan dari sebuah laman berita internet tentang kelemahan Sekretariat Pemilihan Pemimpin PKR  agak menggusarkan ramai dikalangan anggota. 

Kalau laporan itu benar, baca-baca saya PKR sedang dan akan berdepan krisis yang mampu mengundang pelbagai kemungkinan.

Implikasi dari pemilihan PKR sangat besar.

Kalau berjaya PKR boleh berbangga sebagai parti perintis kepada pembangunan demokrasi Malaysia. Kalau gagal imej PKR akan bertambah buruk selepas beberapa siri kegagalan parti itu sebelum ini.

Laporan media dan gambar-gambar sekitar pemilihan PKR bersepah-sepah menggambarkan begitu huru-hara pemilihan berkenaan. Sekretariat Pemilihan PKR dan pegawai-pegawainya kini diasak bertubi-tubi  dan dipersalahkan atas semua kekecohan yang berlaku.

Apatah lagi laporan media mengatakan bahawa pengawas pemilihan mula menarik diri dan sudah tentu keadaan ini akan memburukkan lagi keadaan.

Walaupun menarik perhatian ramai tetapi bagi sesetengah pihak terutama penyokong agak menggerunkan.

Kelemahan ketara di peringkat pengurusan pilihanraya perlu diatasi segera. Amat tidak masuk akal Sekretariat Pemilihan PKR hanya mempunyai 150 pengawas pemilihan yang perlu mengendalikan  450,000 ahli PKR dari 215 Cabang seluruh negara dengan  46 jawatan dipertandingkan ditiap-tiap satu cabang yang mana seramai lebih 13000 calon yang bertanding di pilihanraya peringkat cabang PKR.

Sukar untuk diterima macam mana Sekretariat Pemilihan PKR hanya mempunyai 150 pegawai untuk satu pemilihan yang sebesar ini. Cabang Kapar contohnya terpaksa ditangguhkan sebab pengawas pemilihan tak cukup manakala ahli parti ramai.

Cabang Subang ditangguhkan sebab pengawas pemilihan tak menang tangan  kendalikan kekecohan yang timbul. Begitu juga di banyak tempat yang lain juga berhadapan masalah kelemahan jentera urustadbir pilihanraya yang tak cukup dan tak cekap.

Isu-isu  kertas undi tak cukup, kertas undi tambahan guna fotostat, pengawas lambat tiba, kotak undi tidak cukup, tempat undi tutup awal, pengawas tidak bebas, mengundi bawah khemah kenduri, tiada pasukan keselamatan, masa menunggu terlalu lama dan bermacam-macam lagi dibangkitkan.

Isu seperti ini timbul disebabkan oleh kelemahan dan kecacatan pasukan pengendali pemilihan yang gagal merancang dan membuat persediaan rapi sehingga membuka ruang kepada berlakunya pelbagai insiden yang tidak sepatutnya.

PKR mesti melihat dan membaiki kelemahan Sekretariat Pemilihan bagi mengelak insiden sama berlaku lagi. Pemilihan peringkat pusat nanti tentu  akan lebih hangat.  

Sekiranya PKR gagal memperlihatkan kemampuan untuk mengendalikan pilihanraya ini dengan baik, kredibiliti PKR akan jatuh lagi. Amat malang  pada ketika parti lawan mentertawakan PKR dalam masa sama parti rakan mula memperlekehkan PKR.