Rapatkan kembali saf PKR
Alhamdulillah, secara rasminya pemilihan PKR untuk memilih kepimpinan parti di semua peringkat telah pun berakhir semalam.
Di sebalik asakan dan kecaman media dari segenap penjuru, pemilihan ini berjaya diteruskan meskipun berhadapan dengan 1,001 rintangan. Syabas buat warga PKR seluruhnya!
Pemuda PKR (AMK) percaya bahawa pemilihan 2010 ini merupakan satu nafas baru buat PKR. Sebagai parti pelopor kaedah "satu anggota satu undi", pastinya terdapat rencam masalah yang tidak terjangka oleh mana-mana pihak.
Tetapi itu tidak harus mematahkan semangat kita. Sebaliknya lompong yang ada harus diteliti sepenuhnya agar ia dapat ditampung dengan penambahbaikan yang strategik untuk pemilihan akan datang.
Harus diingat, pesta demokrasi ini tidak wajar mematikan semangat kita. Ia harus membulatkan tekad seluruh anggota untuk kembali merapatkan saf untuk memberi tumpuan kepada persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-13 yang dijangka akan diadakan pada tahun hadapan.
Menang atau kalah bukan menjadi titik noktah kepada semua pihak. Kepada yang tewas, tidak wajar untuk berpaling, sebaliknya perlu terus komited untuk mengukuhkan parti.
Kepada yang menang, itu bukan anugerah untuk dirai, sebaliknya ia adalah amanah yang jelas sekali berat untuk dipikul dan dibuktikan kepada akar umbi dan rakyat untuk terus merealisasikan harapan yang telah kita laungkan dalam pilihanraya umum ke-12 yang lepas.
Jangan kita terperosok di dalam permainan pihak-pihak tertentu yang mahu 'membunuh' PKR dengan pelbagai dakyah rekaan.
Ini masanya untuk kita menegaskan bahawa PKR adalah parti yang komited kepada perjuangan rakyat dan sejarah 12 tahun jelas membuktikan bahawa PKR adalah institusi yang telah teruji.
Ini masanya untuk PKR terus diperkukuh, tanpa menoleh ke belakang.
Penulis adalah ketua AMK

