Rintihan mangsa rumah terbengkalai
Saya ini seorang tentera telah berkhidmat hampir 25 tahun, pada hal boleh bersara wajib pada 2009 (22 tahun). Tetapi memandangkan rumah yang beli ini yang dikotak-katikkan akan siap sebelum 2011 tetapi sehingga ini belum diserahkan, maka terpaksalah menyambung perkhidmatan saya dan bernasih baik diluluskan ke perkhidmatan 25 tahun.
Tetapi... setelah saya balik ke Kuala Lumpur pada hujung Disember tahun lalu dengan harapan anak-anak untuk bersekolah di Puchong dan tinggal di rumah sendiri, jiwa saya, isteri dan anak-anak hampa.
Jiwa tertekan, hari-hari tertekan.
“Bila msuk rumah baru bah?” tanya anak saya.
Saya gagal lagi, perancangan saya gagal lagi. Apakah saya tersalah perancangan berhenti awal atau sambung ke perkhidmatan 50 tahun lagi bagi menunggu rumah saya siap?
Tentera bekerja dengan mental dan fizikal - jadi kudrat saya kini tidak mampu menyambung perkhidmatan lagi. Saya cuma ingin keselesaan di rumah sendiri yang dibeli dari hasil titik peluh.
Tetapi tahukah semua saya terpaksa menangung kepayahan, penderitaan, geram....
Apakah salah semua ini? Kenapa wakil rakyat kita tidak melompat parti, supaya masalah saya ini akan mendapat perhatian terus daripada Perdana Menteri.
Jika pengumuman dari SPR pilihan raya kecil ke-16 akan diadakan di DUN Puchong, - percaya atau tidak sekelip mata masalah ini akan selesai sebab terus ke PM.
Bukan PM sahaja, malah isu ini akan dapat perhatian daripada menteri sana, menteri sini, ADUN sana, ADUN sini, YB sana, YB sini - semua sentiasa sibuk melawat untuk mendapat perhatian dan memberi bantuan serta cenderahati bagi mendapatkan sokongan daripada rakyat seperti mana yang berlaku di kawasan Tenang ketika ini.
Tetapi nasib kami siapa yang peduli? Pemaju peduli apa sebab duit kami setiap bulan akan dipotong. Berapa banyak sudah dipotong, berapa tahun dipotong, berapa tahun kami merana akibat kerakusan mereka tanpa pembelaan kerajaan?

