Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bidang perubatan merupakan antara bidang kritikal dan penting di negara ini. Perbincangan berkenaan perubatan dan kerjaya seorang doktor juga menjadi antara perhatian di kalangan masyarakat.

Ini sudah tentu berkait rapat dengan dekatnya hubungan doktor dengan pesakit yang terdiri dari semua lapisan masyarakat.  Namun, apabila doktor yang seharusnya merawat pesakit itu sendiri menjadi pesakit, apatah lagi sakit dalam konteks psikologi atau kejiwaan maka ia akan memberi permasalahan besar kepada masyarakat.

Inilah yang dihadapi apabila seseorang menceburi bidang kedoktoran. Tekanan kerja, budaya kerja yang tidak membina atau produktif, masa kerja yang keterlaluan dan lain-lain adalah penyumbang besar kepada tekanan mental dan stress yang dialami khususnya kepada doktor-doktor muda.

Dengan segala macam masalah ini maka tidak menghairankan untuk dilihat sentiasa berlakunya kekurangan doktor di hospital kerajaan namun dalam masa yang sama hospital swasta dan klinik-klinik persendirian ditubuhkan bagai cendawan selepas hujan.

Turut berlaku doktor-doktor yang tidak pergi bekerja untuk beberapa tempoh masa bahkan ada yang terus menghilangkan diri tanpa khabar berita. Juga berlaku fenomena mereka yang mengambil bidang kedoktoran di luar negara tidak mahu pulang ke tanah air dan terus menjalankan tugas mereka di negara tersebut.

Di samping tambah parah yang pernah belajar diMalaysia pula berlumba-lumba untuk keluar.

Saya mempunyai seorang rakan yang berkelulusan perubatan dari Indonesia yang telah pun berhijrah ke Australia untuk berkhidmat di sana kerana tidak tahan dengan kerjaya sebagai doktor di Malaysia.

Masa kerja yang keterlaluan dengan tugasan yang banyak antara faktor bebanan ini. Cuba bayangkan seorang doktor yang ‘oncall’ perlu ke hospital seawal jam 7.00 pagi, bertugas sehari suntuk, berjaga pada waktu malam sehingga pagi keesokannya dan kembali bekerja (post-call) sehingga petang.

Mereka bekerja selama 34 jam tanpa mempunyai rehat yang cukup. Bahkan bekerja di hampir setiap hari tanpa cuti minggu merupakan norma biasa. Di tambah lagi jika bekerja di hospital besar dan mempunyai ramai pesakit.

Ini tidak termasuk ‘assessment’ atau ujian amali yang perlu ditempuhi bagi menilai tahap penguasaan sesuatu bidang. Mereka terpaksa bekerja dan dalam masa yang sama kembali belajar dan megulangkaji.

Bayangkan jika mereka sudah berkeluarga dan berapa banyak masa yang boleh diluangkan untuk anak-anak? Kerja sebegini seolah kerja buruh moden bahkan lebih teruk dari itu.

Kenapa kerajaan tidak melaksanakan sistem ‘shift’ seperti mana yang diamalkan untuk para jururawat? Jika kekurangan tenaga dijadikan alasan maka masa kerja tidak seharusnya selama ini.  

Budaya kerja para doktor di hospital juga tidak menyihatkan. Terdapat jurang antara pakar (specialist), ‘medical officer’ dan ‘housemen officer’ sedangkan semua mereka sepatutnya berada dalam satu pasukan kerja yang padu.

Bahkan dikatakan berlaku semacam satu adat di sebuah jabatan di mana para HO tidak dibenarkan makan di ‘café’ hospital. Budaya ‘coaching’ atau mendidik dan melatih juga jarang berlaku.

Bagi pesakit dan jururawat di wad-wad, adalah satu kebiasaan untuk mereka melihat bagaimana doktor-doktor muda yang kurang pengalaman dan kemahiran dimarahi dan ditengking di khalayak ramai oleh doktor pakar atau MO (medical officer).

Budaya merendah-rendahkan doktor-doktor muda bahkan ada kalanya sampai tahap menghina turut berlaku. Sehinggakan ini menimbulkan stress di kalangan mereka termasuk ada yang merasakan mereka tidak mengetahui apa-apa pun.

Kadang-kala dimarahi bukan atas kesilapan yang dilakukan tetapi kerana melakukan kerja tidak mengikut kehendak pakar. Ini belum diceritakan kejadian buli yang turut berlaku. Ini memberi kesan kepada diri mereka.

Boleh melahirkan sifat rendah diri, tidak rasa dihargai, berasakan tiada kemampuan dan semangat untuk melakukan sesuatu, tidak yakin apabila berdepan masalah dan lain-lain.

Semua ini merupakan fenomena yang sangat tidak elok dan perlu diperbaiki. Mereka yang baru sahaja menceburi kerjaya doktor ini seharusnya dilatih, dididik dan diajar dalam persekitaran yang membina dan memberi motivasi bukannya dalam keadaan tertekan.

Cuba kita bayangkan bagaimana seorang doktor mampu memberi khidmat terbaik kepada pesakit dalam persekitaran sebegini.

Masyarakat mudah mengiktiraf kejayaan seseorang hanya melalui pandangan zahir yang diperlihatkan. Apabila mereka melihat kerjaya doktor dengan stetoskop di leher, berkot putih sepanjang masa dan bergaji sedikit tinggi maka segalanya kelihatan baik.

Sedangkan apa yang sebenarnya berlaku adalah sebaliknya. Kadang-kala terdapat juga yang mempersoalkan kompetensi seseorang doktor hanya dengan menilai tahap kualiti pendidikan yang diperolehinya tanpa melihat faktor dalaman yang lebih besar.

Kemahiran dan penguasaan dapat dipelajari melalui pengalaman, namun jika persekitaran yang menghalatujukan pengalaman itu sendiri tidak sihat maka ia tidak seharusnya dipersalahkan seratus peratus kepada si doktor.

Di sebalik senyuman seorang doktor kepada pesakit, tersembunyi perasaan kecewa, sedih dan penat di lubuk hati mereka. Kini bukan pesakit saja perlu diubati tetapi doktor sendiri perlu dirawat.

Salah satunya melalui pembaikan sistem kerja dan pembinaan budaya kerja yang sihat. Doktor adalah nadi kepada kehidupan masyarakat yang sihat. Jika nadi ini sendiri sakit maka ia turut mempengaruhi masyarakat.

ADS